Pelaburan MARA lancar dua dana unit amanah baharu

Pelaburan MARA lancar dua dana unit amanah baharu

PELABURAN MARA Berhad iaitu sebuah konglomerat pelaburan dan kewangan syariah terus menyusun strategi untuk memantapkan prestasi kewangan kumpulan tahun ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Interimnya, Datuk Zulfikri Osman berkata, antara strategi yang disusun ialah dengan melancarkan dua dana unit amanah baharu PMB Investment Berhad, subsidiari PMB yang terlibat dalam pengurusan dana saham amanah syariah.

Katanya, turut disusun ialah mewujudkan jalinan perniagaan dengan syarikat teknologi hijau selain menambah jumlah pembiayaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“PMB akan terus berusaha mencari peluang perniagaan agar dapat mencapai sasaran pulangan kumpulan sebanyak RM52 juta pada tahun ini”, katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zulfikri menambah, PMB Investment juga bakal melancarkan dana pertama tahun ini pada bulan hadapan dengan fokus kepada dana peringkat serantau manakala dana kedua memberi fokus kepada saham alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di suku ketiga tahun ini.

Menurutnya, dana ini akan menjadi dana ke 19 dan 20 yang diuruskan oleh PMB Investment.

“Dengan dua dana baharu ini akan memberi peluang kepada pelabur untuk meneroka pasaran di luar Malaysia dan syarikat yang berlandaskan ESG.

“Kami berpendapat masyarakat pelabur semakin bijak menilai pelaburan yang bersesuaian dengan tahap risiko masing-masing dan dengan adanya produk baru ini, mereka mempunyai pilihan yang lebih luas daripada melabur ke dalam pasaran tempatan sahaja,” katanya.

Zulfikri berkata, perkara ini juga akan menjadi aspek penting dalam membuat keputusan pelaburan arus utama.

“PMB Investment menguruskan 18 dana saham amanah syariah dan telah melancarkan dua dana pada tahun 2021 iaitu PMB An-Nur Waqf Income Fund dan PMB Shariah Global Equity Fund.

“Dana-dana yang diuruskan telah merekodkan pencapaian prestasi yang memberangsangkan di mana salah satu dana iaitu PMB Shariah Equity Fund merekodkan pulangan bagi tempoh tiga tahun sebanyak 93 peratus sehingga Mac 2022.

“Satu lagi dana yang memberikan prestasi menggalakkan ialah PMB Shariah Growth Fund dengan pulangan sebanyak 74 peratus bagi tempoh yang sama,” jelasnya.

Selain itu katanya, PMB Investment turut menerima pengiktirafan PMB Dana Mutiara, iaitu anugerah Refinitiv Lipper Fund Awards 2022 sebagai Dana Ekuiti Pendapatan Terbaik Malaysia (Islamik) untuk tempoh tiga tahun bagi tahun berakhir 31 Disember 2021.

“PMB turut terlibat dalam pembiayaan kewangan syariah khusus sektor PKS menerusi anak syarikatnya, PMB Tijari Berhad,” katanya.

Jelasnya, PMB Tijari kini mempunyai 150 pelanggan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM280 juta di samping menyasarkan pembiayaan kepada 50 usahawan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM80 juta pada tahun ini.

“PMB Tijari akan terus menyediakan perkhidmatan secara peribadi (personalised) dengan perkhidmatan sokongan seperti khidmat nasihat perniagaan selain menjadikan usahawan sebagai rakan niaga dan tidak sekadar pelanggan semata-mata.

“Kami mahu bersama-sama usahawan yang dibiayai membangunkan perniagaan dengan memastikan mereka mendapat bimbingan nasihat pakar dan bukan sahaja menyediakan pembiayaan kewangan.

“Niat kami adalah untuk membantu ramai usahawan terutama bumiputera berjaya dalam peniagaan yang diceburi,” katanya.

Sumber