Pasaran getah kembali meningkat pada akhir dagangan

Pasaran getah kembali meningkat pada akhir dagangan

PASARAN getah Malaysia kembali meningkat pada akhir dagangan Khamis, sejajar dengan sentimen yang didorong oleh langkah China melonggarkan dasar monetarinya, kata peniaga.

China dilaporkan akan meningkatkan sokongan kewangan terhadap ekonomi dengan menurunkan nisbah rizab perlu (RRR) bank-bank dan menggunakan mekanisme dasar pada masa yang wajar.

Kali terakhir People’s Bank of China mengurangkan RRR tersebut adalah pada Disember 2021.

Selain itu, peniaga berkata kalangan penggiat pasaran juga berharap inflasi Amerika Syarikat (AS) akan menghampiri kemuncaknya berdasarkan data-data terkini selain menunggu hasil mesyuarat Bank Pusat Eropah lewat Khamis bagi melihat pendirian terkininya.

Bagaimanapun, beliau berkata aliran peningkatan pasaran lebih terhad berikutan penyusutan dalam pasaran minyak apabila stok simpanan minyak AS yang lebih besar daripada dijangkakan selain kebimbangan mengenai kekangan berkaitan Covid-19 China yang memberi kesan terhadap pemulihan ekonominya.

Dalam pada itu, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) menokok 4.5 sen kepada 722.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 2.0 sen kepada 674.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup LGM bagi GMM 20 berada pada 719.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 674.5 sen sekilogram. – Bernama



Sumber