Pasangan tinggal berjauhan kerana mencari nafkah diharuskan

Pasangan tinggal berjauhan kerana mencari nafkah diharuskan

IBU yang menguruskan anak-anak seorang diri kerana suami bekerja jauh di negeri lain atau luar negara adalah satu pengorbanan besar yang dilakukan oleh kaum wanita.

Pakar agama dan pendakwah terkenal, Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz berkata, suami yang berjauhan dengan isteri dan anak-anak perlu berterima kasih kepada isteri yang berkorban seorang diri mendidik dan membesarkan anak-anak.

“Jarang kita lihat wanita yang mampu untuk menguruskan kerja-kerja menguruskan anak bermula daripada A hingga Z.

“Kebiasaannya, ia memerlukan kerjasama daripada seorang suami,” ujarnya kepada Femina ketika diminta mengulas berkenaan isu pasangan PJJ (Hubungan Jarak Jauh) dan kesannya kepada isteri dan anak-anak.

Beliau memberitahu, perpisahan yang munasabah kerana faktor tugas dan mencari nafkah, ia diharuskan.

“Sebulan dua berpisah itu sudah lumrah dan menjadi kebiasaan bagi mana-mana pasangan. Apa yang penting, pasangan suami isteri itu perlu amanah dan tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Ujar agamawan itu, melalui kecanggihan teknologi seperti telefon dan kewujudan laman sosial berupaya menghubungkan suami isteri yang tinggal berjauhan.

Contoh salah satu pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan kerana suami bekerja di pelantar minyak, Sarawak - Gambar hiasan

Contoh salah satu pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan kerana suami bekerja di pelantar minyak, Sarawak – Gambar hiasan

Dalam pada itu, beliau sebenarnya kurang menggalakkan kehidupan PJJ kerana boleh menjejaskan proses mendidik anak-anak.

“Waktu anak masih kecil, memang sesuai didikan itu diberikan kepada ibu. Namun, ketika mereka membesar, ia layak dilakukan bapa.

“Saya kata begitu sebab anak-anak bila besar mereka kurang takut pada ibu. Berbeza dengan bapa yang bersikap lebih tegas,” katanya.

Buat suami yang berjauhan dengan isteri lantaran mencari rezeki, cara yang terbaik adalah berusaha atau mencari jalan untuk berpindah dan tinggal bersama isteri.

“Kalau boleh jangan berpisah. Berdasarkan pengalaman dan kes saya dengar, segelintir guru dari Sarawak dan Sabah berhadapan kerosakan rumah tangga angkara orang ketiga hingga berlakunya perceraian.

“Kenapa jadi begitu? Sebab masing-masing ada nafsu. Bila tinggal berjauhan dalam tempoh yang lama, iblis mula mengintai dan mencari jalan untuk mengganggu-gugat manusia,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *