Pakar unjur KDNK 5.5 peratus tahun ini

Pakar unjur KDNK 5.5 peratus tahun ini

PAKAR mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah pada kadar 5.5 peratus bagi tahun 2022 berbanding hanya 3.1 peratus pada tahun lalu.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, unjuran tersebut diberi memandangkan keputusan yang dibuat kerajaan untuk membuka sempadan negara pada 1 April depan.

Menurut beliau, pengumuman peralihan ke endemik merupakan perkembangan positif kerana ia menunjukkan bahawa proses pembukaan ekonomi bakal berlaku dengan lebih lancar terutama sektor perlancongan.

“Namun begitu, kami mengekalkan unjuran ekonomi kepada 5.5 peratus pada 2022 kerana terdapat beberapa perkara yang tidak pasti masih berlaku. Antaranya peperangan di Ukraine.

“Ia melibatkan kuasa besar seperti Rusia dan beberapa negara di bahagian barat. Justeru, kita tidak pasti bagaimana kesan peperangan ini bakal memberi kesan kepada impak ekonomi negara. Yang pasti, apa yang berlaku sekarang ialah kenaikan harga minyak dan sebagainya telah menyebabkan kenaikan inflasi di peringkat global.

“Sekiranya kadar inflasi meningkat dengan tidak terkawal, ia berpotensi untuk menjejaskan momentum pemulihan ekonomi pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

Susulan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyeru pemain-pemain industri untuk melakukan persedian awal dalam menerima kemasukan pelancong dari luar bermula 1 April.

Menurut Mohd Afzanizam, pada 2019, sumbangan sektor pelancongan amat penting dan signifikan dalam negara dan mampu mencapai KDNK sehingga sekitar 12.5 peratus.

“Justeru, sekiranya sempadan negara dibuka perlahan-lahan, maka sektor pelancongan akan mula bergerak dengan aktif dan akan memberi kesan langsung yang positif kepada sektor lain.

“Berdasarkan kepada komposisi perbelanjaan pelancong asing, kita dapat lihat pada 2019 sebahagian besar dibelanjakan untuk tujuan membeli-belah sebanyak 34 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan pelancong asing pada tahun itu.

“Kemudian diikuti pula penginapan sekitar 24 peratus, makanan dan minuman 13 peratus serta pengangkutan sekitar lapan peratus,” jelasnya.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun lepas, ekonomi negara belum lagi dalam keadaan normal kerana sektor pelancongan masih belum berfungsi sepenuhnya.

“Jadi, kalau sudah tahun ini dan umumkan banyak kelonggaran, sepatutnya kegiatan ekonomi makin rancak dan apabila sempadan dibuka, sektor pelancongan antara sektor yang mendapat manfaat,” katanya.

Sumber