OPR kekal: Bantu PKS nilai kesihatan kewangan

OPR kekal: Bantu PKS nilai kesihatan kewangan

KEPUTUSAN mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah membantu usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menilai kesihatan kewangan mereka dan membina rizab tunai.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, ia terutama dalam persediaan menghadapi potensi kelembapan ekonomi tahun ini yang timbul terutamanya daripada aspek luar.

Menurutnya, SME Bank komited untuk memberi perkhidmatan kepada PKS bagi memenuhi keperluan kewangan mereka.

“Potensi pemansuhan subsidi bahan api menyeluruh dilihat sebagai risiko peningkatan utama untuk tekanan inflasi, bergantung pada garis masa pelaksanaan dan mekanisme pelancarannya.

“Oleh itu, adalah penting bagi PKS untuk proaktif dalam merancang belanjawan, dan tangkas menghadapi perubahan keadaan pasaran untuk memastikan aliran tunai yang kukuh semasa persekitaran kadar yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menghentikan sementara OPR pada 2.75 peratus dengan menjangkakan bahawa inflasi utama dan inflasi teras akan terus berkurangan pada 2023.

Jelasnya, pada masa ini, inflasi teras berada pada 4.1 peratus pada Disember 2022 manakala inflasi utama telah menurun kepada 3.8 peratus daripada paras tertinggi 4.7 peratus pada bulan Ogos.

Tambah beliau, kesan mendadak daripada pembukaan semula sempadan China, perkembangan harga komoditi global dan perubahan dalam dasar subsidi domestik mungkin memberi tekanan kepada inflasi.

“Oleh itu, sebarang kenaikan OPR pada masa hadapan akan dipacu oleh data,” ujarnya.

Tambah beliau, SME Bank akan terus menyokong PKS melalui pelbagai kemudahan pembiayaan dan program pembangunan usahawan yang khusus.

Jelasnya ia untuk memenuhi keperluan modal kerja, pembelian aset serta pembiayaan berkaitan kelestarian seperti Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG), Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF), Dana Usahawan Muda 2.0 (YEF 2.0) dan Dana Promosi IBS 2.0 (IBS 2.0).

“Selain itu, SME Bank juga turut menyediakan pelaburan ekuiti melalui Dana Permodalan Semula PKS sebagai langkah berterusan dalam menyokong pemulihan semula sektor PKS,” jelasnya.

Sumber