OPR dijangka naik 25 mata asas pada Mac

OPR dijangka naik 25 mata asas pada Mac

CITI RESEARCH melihat keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalamannya (OPR) pada 2.75 peratus sebagai suatu yang sementara, bukan sahaja untuk memberi lebih banyak masa lagi bagi menilai impak kenaikan terdahulu, tetapi bagi peralihan kepada keseimbangan risiko daripada pelarasan dasar dalam belanjawan.

“Dengan inflasi teras masih dilihat tinggi (meskipun menyederhana) dan risiko kepada peningkatan pertumbuhan, kami menjangka sekurang-kurangnya kenaikan 25 mata asas lagi pada Mac dan 25 mata asas lagi pada Mei dengan kemungkinan kenaikan seterusnya pada separuh kedua 2023,” kata Ketua Citi Research bagi Ekonomi Asia, Kit Wei Zheng dalam satu kenyataan.

Di peringkat global, Citi Research berkata, ia terus melihat keadaan kemelesetan yang turun naik, dengan inflasi tinggi dan dasar monetari ketat dijangka membayangi prospek susulan cabaran geopolitik yang berterusan.

Menurutnya, kemajuan pertumbuhan global tahun ini dijangka menurun, kepada hanya lebih 2 peratus, hampir satu mata peratusan lebih rendah berbanding prestasi agak baik tahun lepas.

“Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kita melihat peralihan dinamik dalam ekonomi global.

“China menamatkan strategi sifar Covidnya, cuaca yang panas dan berangin di kawasan Eropah dan data terkini Amerika Syarikat menunjukkan inflasi rendah dengan aktiviti ekonomi yang masih kukuh. Meskipun berita baik kebelakangan ini, kami berpandangan ekonomi global masih bakal berdepan tahun yang mencabar,” katanya.

Citi Research turut menjangka pertumbuhan ekonomi Malaysia menyederhana kepada 4 peratus pada 2023 berikutan kesan asas dan ketidaktentuan luar.

Firma penyelidikan itu berkata, pembukaan semula sempadan China boleh membantu mengimbangi kesan ketidaktentuan luar daripada kemungkinan berlakunya kemelesetan di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.

“Kami menaikkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 kami kepada 8.7 peratus, mengatasi unjuran Kementerian Kewangan pada 6.5- 7 peratus dan menjangkakan pertumbuhan sederhana kepada 4 peratus pada 2023,” katanya.

Beliau berkata, permintaan buruh dijangka kekal berdaya tahan dengan kadar pengangguran turun ke paras seperti sebelum Covid-19 walaupun pelaksanaan penuh kenaikan gaji minimum 25 peratus bermula separuh kedua 2023 boleh menambah kepada tekanan gaji. – Bernama

Sumber