Nostalgia sebuah mesin jahit

Nostalgia sebuah mesin jahit

PEREKA muda, Davis Paul Lister pernah menganggur selama enam bulan selepas menamatkan pengajian peringkat Diploma Reka Bentuk Fesyen dan Pakaian di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.

Sepanjang tempoh itu, jejaka berusia 28 tahun tersebut menemui jalan buntu.

Beliau sukar membuat pilihan sama ada perlu berhijrah ke Kuala Lumpur menerokai bidang fesyen ataupun mencari pekerjaan lain dan kekal menetap bersama keluarga di Kuala Terengganu, Terengganu.

Melihat keluh-kesah yang dihadapi, ibunya, Teo Huey Lan, 52, menyarankan Davis mengusahakan bisnes menjahit di rumah dengan mengambil tempahan dalam kalangan penduduk kampung.

“Saya sedikitpun tidak membantah, bahkan menyahut saranan ibu kerana bisnes itu selari dengan tahap pendidikan yang dipelajari di politeknik.

“Justeru, bermodalkan RM500 baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, saya membeli kelengkapan jahitan sementelah ibu pula menghadiahkan sebuah mesin jahit. Bertitik tolak dari situ, saya mula menerima tempahan baju kurung bermula antara RM180 hingga RM280 sepasang,” ujarnya yang masih menggunakan mesin jahit pemberian ibu sejak tahun 2013.

Bicara anak kedua daripada enam beradik tersebut, beliau sama sekali tidak menyangka karya rekaan dan kekemasan jahitannya mendapat sambutan yang cukup mengalakkan.

Bermula daripada koleksi baju kurung hinggalah tempahan baju kurung majlis pertunangan, nikah dan busana majlis makan malam.

“Lebih mengujakan tempahan turut berkembang dalam kalangan warga Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Sarawak gara-gara saya muat naik setiap koleksi pakaian yang dihasilkan dalam laman sosial, Instagram.

“Sehinggakan, pada satu tahap, tiga kali dalam seminggu saya perlu berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur bagi memenuhi permintaan pelanggan. Jika tidak menaiki pesawat tambang murah pada kadar RM39, saya akan mengendong beg berisi baju tempahan dengan bas ekspres,” ujar Davis Paul yang melakukan semuanya sendirian termasuk membeli kain, memotong pola, mengambil ukuran pelanggan dan menjahit manik.

Anjakan

Jejaka stail itu memberitahu, selepas setahun menghabiskan masa di dalam bas dan kapal terbang dengan berbekalkan wang simpanan hasil menjahit, beliau berpindah ke Kuala Lumpur dan menyewa sebuah bilik di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Melati.

“Bayangkan, di dalam bilik kecil itulah saya menjahit menggunakan mesin jahit pemberian ibu dan tidur beralaskan sehelai selimut nipis. Soal keselesaan saya tolak tepi, asalkan pakaian pelanggan disempurnakan dengan baik,” katanya ketika ditemui e-Trend di butiknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana kerja keras dan amalan menabungnya membuahkan hasil apabila penghujung tahun 2016, beliau berjaya pindah dari PPR dan membuka butik di dalam rumah teres dua tingkat berpangkalan di Bangsar, Kuala Lumpur.

Jika selama tiga tahun bekerja sendiri, namun kini beliau sudah berkemampuan menggaji lapan tenaga kerja.

Menyentuh mengenai signatur rekaannya, Davis menjelaskan, beliau menitikberatkan ciri-ciri feminin, anggun dan glamor tanpa menenggelamkan personaliti pelanggan.

“Saya juga gemar bermain dengan perincian yang minimal, tetapi tampak mewah terutamanya busana perkahwinan.

“Dari segi pemilihan material dan palet warna, aspek itu bergantung pada penerimaan pelanggan. Lazimnya, sebelum mencadangkan rekaan, saya selesa mendengar kehendak dan idea mereka terlebih dahulu. Inisiatif berkenaan perlu kerana esok lusa pelanggan yang akan menggayakan busana tersebut,” terangnya.

Davis Paul Lister

Umur: 28 tahun

Asal: Jerteh, Terengganu

Pendidikan:

Sekolah Menengah Kebangsaan Terengganu Mahmud II

Diploma Reka Bentuk Fesyen dan Pakaian, Politeknik Ibrahim Sultan, Johor

Bilangan adik-beradik: Anak kedua daripada enam beradik

Hobi: Melancong

Butik: DPL No 104, Jalan Terasek 3, Bangsar, Kuala Lumpur

Instagram: @dplkl



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *