NOKIA komited bantu kerajaan percepat pelaksanaan 5G

NOKIA komited bantu kerajaan percepat pelaksanaan 5G

KUALA LUMPUR – Nokia, peneraju global dalam industri telekomunikasi, komited untuk membantu kerajaan dalam usaha mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G menerusi portfolionya yang kukuh pada tahun ini.

Pengarah Urusan Nokia bagi Malaysia, Maldives dan Sri Lanka, Datuk Mohd Rauf Nasir berkata, syarikat itu menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam pelaksanaan 5G di serata dunia dan berminat menawarkan teknologi serta perkhidmatan bagi mempercepat proses 5G di negara ini.

“Kami mempunyai empat portfolio utama iaitu rangkaian mudah alih, infrastruktur rangkaian merangkumi tiga sub portfolio, perkhidmatan rangkaian awan dan teknologi Nokia.

“Bagi membolehkan 5G beroperasi sepenuhnya, anda perlukan stesen asas atau rangkaian akses radio (RAN) yang juga di bawah portfolio rangkaian mudah alih kami. Nokia mempunyai kesemua aspek ini agar pelanggan dapat menjadikan 5G beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Mohd Rauf berkata, kejayaan pelaksanaan rangkaian 5G juga bukan setakat merangkumi penyampaian infrastruktur kritikal terhadap perkhidmatan pengguna tetapi turut melibatkan aspek pendigitalan perniagaan.

“Malah, bagi kami, aspek ini amat penting bagi membolehkan sesebuah negara menjadi lebih berdaya saing dalam menarik kehadiran lebih ramai pelabur dengan infrastrukur yang berkelas dunia.

“Kami juga yakin mempunyai teknologi untuk ditawarkan kepada Malaysia bagi menjadikannya lebih kompetitif agar dapat menjana lebih banyak pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, Nokia juga telah menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam penawaran penyelesaian rangkaian tetap sejak dua tahun lepas selepas kemunculan pandemik di peringkat global.

“Tumpuan kami bagi tahun ini adalah mempertingkat tawaran penyelesaian rangkaian tetap kami serta meninjau untuk menyediakan penyelesaian rangkaian mudah alih lebih baik berikutan portfolio kami yang sangat kukuh dalam kedua-dua bidang berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G, Mohd Rauf berkata, Nokia bersedia untuk menyokong sebarang keputusan kerajaan.

“Saya tidak pasti bagaimana keputusan kerajaan mengenai pendekatan SWN tersebut. Kami serahkan perkara itu kepada kerajaan kerana ini perlu melibatkan kajian pakar dari segi keunikan yang dimiliki oleh negara ini.

“Fokus utama kami lebih kepada menyokong pelanggan untuk menggunakan teknologi terbaharu kami dan akan terus memberi sokongan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka,” katanya. – Bernama

Sumber