Noh gesa percepat pengeluaran sijil halal kepada usahawan

Noh gesa percepat pengeluaran sijil halal kepada usahawan

AGENSI kerajaan yang mengeluarkan sijil halal diminta mempercepatkan proses pengesahan pensijilan halal Malaysia yang dipohon usahawan di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, beliau menerima banyak rungutan dalam kalangan usahawan tentang kerumitan mereka memperoleh sijil halal hingga terpaksa menunggu selama setahun.

Menurutnya, tempoh pengesahan sijil halal itu dianggap memakan tempoh masa terlalu lama sedangkan kebanyakan usahawan memerlukan bantuan kerajaan terutama dalam keadaan mereka terjejas akibat penularan Covid-19.

“Ramai usahawan merungut tentang kelewatan memperoleh pensijilan halal ini dan saya dimaklumkan setelah mendapatkan kelulusan halal mereka juga terpaksa menunggu hingga sebulan lagi mendapatkan sijil halal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Lawatan Kerja di Aducktive Good Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Kota Puteri di sini pada Khamis.

Noh berkata, pada Khamis ini sahaja sebanyak empat aduan diterima beliau dalam kalangan usahawan berhubung kelewatan memperoleh pensijilan halal.

“Kita amat kecewa kerana agensi bertanggungjawab mengambil masa setahun hendak meluluskan sedangkan sijil halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Katanya, kelewatan pensijilan halal itu juga akan dibangkitkan beliau dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat.

“Agensi bertanggungjawab perlu turun padang dan percepatkan proses pengesahan pensijilan halal ini.

“Rakyat di luar sana sedang dalam kesusahan dan kita perlu bersama-sama berganding bahu membantu memudahkan mereka mempercepatkan proses pensijilan halal ini,” katanya.

Sumber