Nilai ringgit melantun semula berbanding dolar AS

Nilai ringgit melantun semula berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR – Selepas mencatatkan penurunan dua hari berturut-turut, nilai ringgit melantun semula untuk dibuka agak tinggi pagi berbanding dolar AS kerana mata wang tempatan yang murah itu telah menarik perhatian para pelabur, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.16 pagi, ringgit berada pada paras 4.3550/3595 berbanding dolar AS daripada penutup Khamis pada 4.3630/3650.

Menurut penganalisis itu, pelabur nampaknya telah bertindak balas secara positif terhadap jaminan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa ekonomi negara kekal kukuh, walaupun ringgit mengalami aliran menurun.

Dalam laporan berita pada Khamis, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menolak kebimbangan bahawa penyusutan nilai ringgit adalah petanda Malaysia akan menghadapi masalah untuk menyelesaikan hutang luar negaranya sama seperti yang berlaku di beberapa negara, sambil menegaskan bahawa “Malaysia tidak berada pada kedudukan itu”.

Bagaimanapun, seorang peniaga lain berkata, keuntungan ringgit adalah terhad kerana pelabur masih lagi bimbang dengan keputusan Bank of Japan mengenai dasar monetarinya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3369/3406 daripada penutup Khamis 3.3412/3430, dan meningkat berbanding euro kepada 4.5828/5875 daripada 4.5894/5915 sebelumnya.

Ringgit menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1474/1508 daripada penutup pada Khamis 3.1488/1507 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.4381/4437 daripada 5.4590/4615 sebelumnya. – Bernama



Sumber