Nilai ekonomi Islam melihat keperluan semasa

Nilai ekonomi Islam melihat keperluan semasa

SHAH ALAM – Nilai ekonomi Islam ialah nilai yang melihat kepada keperluan semasa yang berdasarkan data semasa.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, al-Quran mempunyai 114 surah, kita melihat secara makro, al-Quran itu menamakan surah-surah itu dengan dimensi kehidupan.

MOHD DAUD

MOHD DAUD

Menurutnya, al-Quran itu melihat ekonomi itu berbentuk sinergi kerana kalau tidak ada tumbuhan, binatang tidak akan mendapat makanan, kalau binatang tidak mendapat makanan kita juga tidak mendapat protein, kalau tidak ada air dan tanah, maka kesemuanya akan hancur.

“Di sebut dalam al-Quran, saya membuat kajian mengenai pendataan mendapati sebanyak 20 kali ALLAH menyebut mengenai air hujan dan sebanyak 50 kali mengenai air, disebutkan bahawa ALLAH menjadikan air itu makhluk termasuklah virus dan bakteria.

“Jadi, dalam konteks ini, mesti ada sinergi ekonomi, bagaimana kita melihat kesinergian, kesambungan dan kaitan kewangan, kepakaran, prasarana dan sebagainya. Bagaimana menjadikan ekonomi kita ada nilai yang baik, rahmah dan kasih sayang dan nilai yang paling tinggi ialah menjadikan aset negara tidak disia-siakan dan dibazirkan.

“Itulah yang saya rasa concern dengan bajet, mungkin banyak wang dan peruntukkan tetapi bagaimana kita menjadikan setiap RM1 itu benar-benar terisi dan dapat memberikan kesan langsung kepada masyarakat dan rakyat marhaen,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 16 bertajuk Sinergi Ekonomi Rakyat yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Wacana itu turut menampilkan Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma, manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator serta qari, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang mengalunkan bacaan Surah Al- Zukhruf.

Mohd Daud berkata, kita perlu ingat apabila bercakap mengenai rakyat marhaen ini, mereka tidak mampu berdiri sendiri, mereka perlukan orang yang berilmu, berpengalaman dan berharta untuk menjadikan konsep memudahcarakan ekonomi itu dalam bentuk sinergi dan holistik.

“Kalau kita meminta mereka untuk maju sendiri, mereka sudah merasa kemiskinan, bergelut, merana, tambah lagi tanggungjawab, mereka tidak lagi mampu untuk melakukannya. Kalau boleh kita meluangkan ruang pelepasan rakyat marhaen untuk mereka mendapat bantuan dan idea yang membina,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Daud berkata, manusia itu bukan alat atau komoditi dan tidak boleh digunakan sebagai manipulasi.

“Kita menggunakan sebagai pemudahcara dan kita memerlukan antara satu sama lain, pekerja dan majikan dalam konsep a-Quran, bagaimana menyantuni mereka yang bekerja dalam konsep memudahcarakan.

“Kalau kita tidak mampu, kita perlu melantik pekerja dan kita memerlukan di antara satu sama lain secara berterusan sehingga ke hari kiamat. Ia tidak akan berubah konsep fasilitating economy,” katanya.

Katanya, berbalik kepada konsep rahmah ini, memang kita suka harta dan wang, malah orang yang miskin juga sukakan wang, itu adalah fitrah.

“Kita perlu mendidik diri kita sebagai penyumbang dan penerima manfaat negara supaya membuka minda mereka dalam keadaan tertentu wang bukan segala-galanya.

“Mereka memerlukan pada ekuiti modal dalam bentuk baharu, modal didikan dan asuhan, mentoring dan coaching dan sebagainya atau peluang untuk mereka membuka pasaran mereka, menghantar anak mereka ke tempat yang lebih baik dan modal dalam pelbagai iaitu modal kewangan merupakan modal yang paling mudah,” katanya.

Katanya, melalui pembacaannya, dalam krisis ekonomi ini terdapat dua perkara yang penting untuk membangunkan ekonomi kita sama ada golongan B40, M40 dan T20 ialah conviction dan connection.



Sumber