Nilai biokomposit negara catat RM4.3 bilion tahun lepas: Jeck Seng

Inspirasi Destinasi Menarik Percutian Impian > AKTIVITI > Nilai biokomposit negara catat RM4.3 bilion tahun lepas: Jeck Seng

Nilai biokomposit negara catat RM4.3 bilion tahun lepas: Jeck Seng

INDUSTRI biokomposit di Malaysia kini berkembang pesat dengan negara mencatatkan nilai eksport sebanyak RM4.3 bilion atau 19 peratus daripada RM22.74 bilion bagi keseluruhan jumlah eksport kayu pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, antara negara pengeksport utama produk biokomposit yang terdiri daripada papan lapis, venir dan papan gentian ialah Amerika Syarikat, Jepun, China dan Singapura.

“Setakat ini, terdapat 176 kilang papan lapis, masing-masing tujuh kilang papan serpai dan papan gentian serta tiga kilang komposit plastik kayu (WPC) di seluruh negara bagi menghasilkan bahan mentah biokomposit terutamanya dalam sektor perabot dan pembinaan.

“Di peringkat global pula, negara menduduki tempat kelima sebagai pengeksport papan lapis dan tempat ke-17 untuk papan gentian dan ke-29 untuk papan serpai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembinaan kios daripada WPC pada Jumaat.

Beliau berkata, pasaran WPC disasarkan untuk mencatatkan pertumbuhan mampan dalam tempoh lima tahun akan datang di peringkat global didorong oleh peningkatan segmen pembinaan dan bangunan terutamanya di Amerika Utara dan Eropah.

Katanya, segmen itu dijangka menjadi pengguna terbesar WPC dan sektor automotif untuk komponen automotif ringan.

“Pengguna juga telah mula menggunakan WPC bertujuan memelihara alam sekitar berikutan ia diperbuat daripada bahan kitar semula,” katanya.

Optimis WPC menjadi tumpuan negara pengimport seiring dengan peningkatan permintaan terhadap produk kayu mesra alam dari negara maju, Jeck Seng berkata, lebih banyak inisiatif perlu dilaksanakan bagi memperkenalkan produk kayu ke pasaran global.

Produk WPC adalah produk alternatif kayu bercirikan hijau dan mesra alam serta dihasilkan daripada dua bahan utama iaitu gentian semula jadi dan plastik termasuk sisa pertanian, sisa perindustrian kayu atau hutan asli seperti kelapa sawit dan serbuk kayu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama syarikat swasta akan membangunkan rumah FAST (Mesra, Mampu Milik, Sistem, Teknologi) daripada produk biokomposit yang mempunyai ciri-ciri kalis air, tahan lasak dan tidak mudah diserang anai-anai.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, rumah dengan anggaran nilai RM70,000 hingga RM100,000 seunit itu akan dibina di Pahang terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Dalam perkembangan lain, Jeck Seng berkata, kerajaan sentiasa memantau dan melihat situasi semasa bagi menstabilkan harga sawit di pasaran dan harga buah tandan segar sehingga 22 Jun turun kepada RM1,000 satu tan metrik.

“Kelapa sawit bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran antarabangsa. Kerajaan berusaha untuk meningkatkan harga terutamanya di lapangan. Saya yakin jika kerajaan dapat menstabilkan harga di lapangan, ia akan membantu pekebun kecil,” katanya. -Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber