Naik had pelaburan: PNB buat pengumuman berasingan

Naik had pelaburan: PNB buat pengumuman berasingan

PNB akan membuat pengumuman secara berasingan berhubung tarikh kuat kuasa peningkatan had pelaburan ASB dan ASB2. - Gambar hiasan

PNB akan membuat pengumuman secara berasingan berhubung tarikh kuat kuasa peningkatan had pelaburan ASB dan ASB2. – Gambar hiasan

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) akan membuat pengumuman secara berasingan berhubung tarikh kuat kuasa peningkatan had pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2).

PNB dalam satu kenyataan memaklumkan, had pelaburan bagi kedua-dua amanah saham itu akan dinaikkan ke RM300,000 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.

Menurutnya, sebelum ini, kedua-dua unit amanah itu masing-masing mengekalkan jumlah had pelaburan sebanyak RM200,000.

“Seiring iltizam Kerajaan Perpaduan yang memastikan kesaksamaan masyarakat berbilang kaum, kami turut berbesar hati memaklumkan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) akan ditingkatkan sebanyak RM5 bilion.

“Pengumuman ini selaras dengan usaha PNB untuk terus menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu turut memberitahu, pihaknya menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 yang mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi berhemat dan pembangunan saksama demi menggalakkan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia.

Mengulas mengenai penggabungan Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, Yayasan Ekuiti Nasional dan Yayasan Pelaburan Bumiputra, PNB memaklumkan, akan memberi sokongan terhadap cadangan pemusatan institusi-institusi dengan fungsi yang hampir sama agar lebih efektif dalam menunaikan mandat masing-masing.

“Bagi memastikan keberkesanan operasi, PNB akan bekerjasama dengan pihak yang berkenaan,” jelasnya.

Sumber