Pesta keluarga mampan terbesar, BMC Family 360° dengan tema A Step to the Future semakin hampir untuk menemui orang ramai. Acara ini akan berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dari 19 hingga 21 September 2025, bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam. Ia dianjurkan oleh AI Global bersama Majlis Perbandaran Kajang, BMC Mall, iBidan serta CelcomDigi dan merupakan acara keluarga berskala besar yang diadakan buat pertama kali.

BMC Family 360° diinspirasikan daripada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. Program ini memberi penekanan kepada nilai kekeluargaan, kelestarian komuniti serta amalan gaya hidup pintar. Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran, pertunjukan, sesi interaktif dan persembahan hiburan yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Nabila Razali dipilih sebagai jurucakap rasmi acara ini kerana keperibadiannya yang rapat dengan keluarga dan anak muda. Beliau kini giat membuat persiapan sambil mempraktikkan prinsip pembangunan mampan dalam kehidupan sehari hari. Menurutnya, tanggungjawab ini bukan hanya sekadar menghiburkan penonton tetapi juga memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar, kesihatan, pendidikan dan penggunaan sumber secara berhemah. Nabila juga mengamalkan perubahan kecil seperti mengawal penggunaan elektrik dan air serta memastikan kesejahteraan keluarga agar dapat menjadi contoh kepada orang ramai.

Penyanyi yang mesra dengan panggilan Bella ini menyatakan bahawa perubahan ke arah gaya hidup mampan tidaklah terlalu sukar, yang penting adalah langkah pertama untuk bermula. Beliau bangga diberi peluang menyampaikan mesej bermanfaat ini serta menambah ilmu baharu yang boleh dikongsi bersama masyarakat.
BMC Family 360° bakal menampilkan pelbagai acara utama seperti majlis perasmian pada 19 September 2025 jam 3 petang bersama tetamu khas dan Nabila Razali. Pada 20 September jam 8 malam pula, persembahan malam bertemakan pembangunan mampan akan diadakan dengan gabungan muzik, budaya serta persembahan istimewa daripada Nabila.

Antara aktiviti lain termasuk pameran Angkatan Tentera Malaysia, pameran agensi kerajaan, swasta dan NGO berteraskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan, mini zoo untuk hiburan kanak kanak serta pertandingan mewarna dan melukis. Turut diadakan pameran inovasi, jualan produk pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan serta gaya hidup lestari. Ruang esports dan permainan interaktif juga disediakan untuk ibu bapa dan anak anak.
Acara ini dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dari Kajang, Cheras dan seluruh Lembah Klang. Ia merupakan kesempatan terbaik untuk keluarga menikmati hujung minggu yang penuh keceriaan, ilmu dan hiburan. Ayuh sertai BMC Family 360° dan jadikan ia langkah menuju masa depan yang lebih lestari dan sejahtera.