Myvi generasi ke-3 lancar di Singapura

Myvi generasi ke-3 lancar di Singapura

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasminya melancarkan Perodua Myvi generasi ketiga di Singapura pada minggu lalu yang didatangkan dengan dua varian.

Dua varian yang dijual adalah 1.3 X AT dan 1.5 H AT, model tersebut berharga SGD64,800 (RM197,093) dan SGD69,800 (RM212,301) masing-masing, termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta Sijil Kelayakan (COE).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pelancaran itu mencatat satu lagi pencapaian penting Perodua walaupun berdepan dengan halangan untuk memasuki pasaran matang itu.

Pelanggan melihat model Perodua Myvi 1.3X di galeri pameran Perocom Auto.

Pelanggan melihat model Perodua Myvi 1.3X di galeri pameran Perocom Auto.

“Ia juga menandakan destinasi eksport pertama bagi model ini di bawah jenama PERODUA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zainal Abidin lagi, walaupun Perodua sudah mula mengeksport Myvi generasi ketiga ke Indonesia, namun model tersebut menggunakan jenama Daihatsu di sana dan dinamakan sebagai Sirion.

Bilangan kenderaan baharu yang didaftarkan di Singapura berbeza dari tahun ke tahun, iaitu sebanyak 80,281 unit pada 2018, 91,922 pada 2017, 87,504 pada 2016 dan 57,589 pada tahun 2015, berdasarkan statistik Lembaga Pengangkutan Darat (LTA).

Walaupun kecil, pasaran automotif Singapura adalah antara yang paling dikawal selia di rantau ini.

Galeri pameran Perocom Auto.

Galeri pameran Perocom Auto.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perocom Auto, John Ng berkata, Perodua Myvi telah mendapat sambutan sangat baik dalam kalangan rakyat Malaysia, sementara di Singapura, terdapat sekumpulan peminat setia yang menantikan ketibaan model generasi ke-3 itu.

Dilancarkan di Malaysia pada November 2017, Perodua Myvi generasi ketiga merupakan model paling canggih yang dikeluarkan oleh Perodua setakat ini, menawarkan kualiti tinggi, teknologi dan kecekapan bahan api dalam sebuah pakej yang kompak serta bergaya.

Tambahan pula, bahagian upper body Myvi generasi ketiga direka sepenuhnya oleh Perodua.

Perocom Auto, pengedar sah Perodua yang tunggal di Singapura sejak 1997, telah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama, Viva, Axia dan Bezza di negara tersebut.

Setakat ini, lebih 110,000 unit Perodua Myvi generasi ke-3 telah menemui pemiliknya di Malaysia.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *