Mydin terus bantu golongan memerlukan sambut Ramadan, Syawal

Mydin terus bantu golongan memerlukan sambut Ramadan, Syawal

RANGKAIAN pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) meneruskan tanggungjawab sosial korporatnya menerusi Kempen Senyuman Syawal dan Mydin Prihatin Syawal pada tahun ini.

Dua program boleh diibarat sebagai menyumbang kembali kepada masyarakat itu diteruskan bagi membantu golongan memerlukan dalam membuat persiapan menjelang Ramadan dan ketibaan Aidilfitri.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, kempen seumpama yang dilancarkan pada saban tahun merupakan inisiatif bersama rakan pembekal Mydin bagi menyumbang kembali kepada masyarakat ketika menjelang musim perayaan.

Pada tahun ini katanya, sebanyak 51 jenama pembekal strategik Mydin mengambil bahagian dalam kempen mengumpul dana Mydin Prihatin yang mana bermula 1 Mac sehingga 22 Mei, setiap pembelian produk terpilih di mana-mana cawangan Mydin, sejumlah dana 5 sen sehingga RM1 akan disalurkan ke dana tersebut.

Katanya lagi, Mydin menyasarkan kutipan sehingga RM300,000 bagi diagihkan dalam bentuk kelengkapan baju raya, keperluan dapur dan rumah kepada golongan sasar di seluruh negara antaranya asnaf, rumah kebajikan anak-anak yatim dan warga emas serta golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sejumlah 5 sen sehingga RM1 disalurkan ke dana Mydin Prihatin menerusi pembelian barangan terpilih di Mydin. FOTO: ROSLI TALIB

Sejumlah 5 sen sehingga RM1 disalurkan ke dana Mydin Prihatin menerusi pembelian barangan terpilih di Mydin. FOTO: ROSLI TALIB

“Golongan rentan dan B40 amat dekat di hati kami dan memahami kepayahan yang dihadapi mereka membuatkan kami mengambil tanggungjawab bersama membantu sedaya upaya kami bagi mengukir ‘Senyuman Syawal’ kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen Senyuman Syawal dan Pelancaran Mydin Prihatin Syawal 2022 yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Mydin USJ di Subang Jaya, Selangor pada Khamis.

Menurutnya, pelbagai tawaran menarik sepanjang kempen berlangsung sehingga 25 Mac ini termasuk peraduan menarik, diskaun istimewa barangan termasuk barangan keperluan dapur, barangan segar, pakaian, barangan rumah serta pelbagai lagi.

“Orang ramai boleh mengunjungi cawangan Mydin terdekat atau layari media sosial rasmi Mydin Malaysia bagi mengetahui maklumat lanjut dan promosi yang sedang berlangsung,” tambahnya.

Sumber