Mydin tawar pulangan wang tunai RM300,000 kepada pengguna e-dompet

Mydin tawar pulangan wang tunai RM300,000 kepada pengguna e-dompet

RANGKAIAN pemborong dan peruncit terbesar negara ini, Mydin menawarkan pulangan tunai sehingga RM300,000 kepada pengguna e-dompet melalui aplikasi terpilih di semua cawangannya sempena Kempen Klasiknya Raya.

Pengguna hanya perlu berbelanja menggunakan aplikasi rakan strategik e-dompet iaitu Atome, Boost, E- dompet MBSB Bank, MCash, dan E- dompet Touch’nGO untuk peluang tersebut.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, kempen ganjaran pulangan tunai yang berlangsung sehingga 7 Mei 2023 itu bertujuan menggalakkan orang ramai mengaplikasikan penggunaan teknologi bayaran secara digital yang lebih mudah dan selamat.

Menurutnya, pelanggan boleh terus membayar dengan lebih cepat melalui aplikasi e- dompet tersebut sekaligus menjadikan aktiviti membeli-belah terutamanya untuk persiapan menyambut musim perayaan lebih efisien apabila dapat menjimatkan masa di kaunter bayaran.

“Kami berharap kempen ini dapat menjadi momentum untuk meningkatkan penggunaan pembayaran secara elektronik di samping pelanggan turut menikmati ganjaran hebat dan kelebihan yang ditawarkan ketika membeli- belah.

“Mengikut rekod transaksi penggunaan e-dompet, MYDIN mencatatkan peningkatan hampir 40 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding suku terakhir tahun lepas iaitu hampir 30,000 transaksi.

“Ini menunjukkan kesedaran orang ramai tentang kelebihan memanfaatkan penggunaan aplikasi tersebut,”katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan Kempen ‘Klasiknya Raya’ di Mydin Subang Jaya, Selangor

Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di laman media sosial atau laman sesawang rasmi Mydin Malaysia di www.mydin.my.

Sumber