Mydin, ShopeePay tawar kit ujian kendiri Covid-19 serendah RM3.80

Mydin, ShopeePay tawar kit ujian kendiri Covid-19 serendah RM3.80

SHAH ALAM – Rangkaian pemborong dan peruncit terbesar tempatan, Mydin berkolaboratif dengan aplikasi e-dompet, ShopeePay bagi menawarkan harga kit ujian kendiri Covid-19 serendah RM3.80 setiap satu.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, Mydin mengambil inisiatif menawarkan kit ujian kendiri Covid-19 jenama Newgene tersebut bertujuan memberikan kemudahan kepada masyarakat memilikinya disebabkan pandemik ini masih berpanjangan terutama dengan penemuan varian Omicron.

Menurutnya, harga asal kit ujian kendiri Covid-19 tersebut ialah RM6.90.

“Varian baharu tersebut meletakkan keselamatan dan kesihatan rakyat dalam keadaan lebih berisiko. Sebagai pembekal, Mydin seharusnya memudahkan masyarakat untuk membelinya dengan harga yang mampu milik.

“Justeru, kita mungkin tidak akan menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan sekali lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, selepas keseluruhan aktiviti ekonomi perniagaan dibuka, orang ramai semestinya mencari bekalan kit ujian kendiri dengan harga yang murah bagi mengurangkan kos perniagaan.

“Penjualan kit ujian kendiri dengan harga rendah menerusi kerjasama Mydin merupakan salah satu inisiatif untuk menyumbang kepada pembukaan ekonomi dan memastikan keselamatan masyarakat terjamin,” katanya.

Kit ujian kendiri Newgene kini boleh dibeli dengan harga serendah RM3.80 apabila pelanggan menggunakan baucar ShopeePay yang dibeli dengan harga 1 sen di aplikasi Shopee.

Tawaran ini hanya melibatkan 59 cawangan Mydin seperti yang disenaraikan di baucar tersebut dan berlangsung sehingga 31 Disember atau sehingga stok habis.

Sumber