Mydin, PKIBM, Iklanika anjur Karnival Pendidikan MyUni 2022

Mydin, PKIBM, Iklanika anjur Karnival Pendidikan MyUni 2022

SHAH ALAM – Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dan Iklanika Sdn Bhd (Iklanika) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjayakan Karnival Pendidikan MyUni 2022 yang bakal berlangsung di seluruh negara, bermula 14 Mei hingga 19 Jun 2022.

Majlis memeterai MoU itu diadakan di pasar raya Mydin USJ, di Subang Jaya, Selangor, Jumaat lepas.

Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md Isa mewakili PKIBM; Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin mewakili Mydin manakala Iklanika diwakili Pengarah Urusan, Ahmad Shukri Abdul Ghani.

Mydin dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, buat julung kalinya, ketiga-tiga pihak akan bekerjasama untuk menjayakan Karnival Pendidikan MyUni iaitu siri jelajah promosi peluang pendidikan yang ditawarkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kepada semua lepasan sekolah di seluruh negara.

“Penganjuran Karnival Pendidikan MyUni bagi membantu lebih ramai pelajar dan lepasan sekolah mendapat maklumat mengenai hala tuju, bidang bersesuaian dan peluang yang ditawarkan IPTS yang mengambil bahagian.

“Melalui MoU ini, PKIBM komited untuk terus memainkan peranan yang aktif dalam arus perdana pendidikan tinggi negara dengan menyediakan akses ke pendidikan tinggi kepada kelompok B40, khususnya yang tidak mendapat tempat di institusi pendidikan tinggi awam,” jelas kenyataan itu.

Ahmad Shukri (dua dari kiri) Ameer (tiga dari kiri) dan Amir Hamzah (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada majlis itu yang diadakan di pasar raya Mydin USJ, Subang Jaya, pada Jumaat.

Ahmad Shukri (dua dari kiri) Ameer (tiga dari kiri) dan Amir Hamzah (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada majlis itu yang diadakan di pasar raya Mydin USJ, Subang Jaya, pada Jumaat.

Sementara itu, Ameer berkata, Mydin akan menyokong usaha PKIBM untuk membantu lebih ramai lepasan sekolah khususnya dalam keluarga B40 yang tidak ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi awam, mendapat peluang pendidikan tinggi yang berkualiti.

“Mydin juga akan menyokong usaha membantu Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan akses lepasan sekolah ke pendidikan tinggi yang sejak dua tahun lalu merosot teruk berikutan pandemik Covid-19.

“Mydin turut bersedia menjalinkan kerjasama yang bersesuaian dengan PKIBM untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi dalam kalangan masyarakat dan membantu mempromosi peluang pendidikan yang

ditawarkan 54 ahli persatuan yang terdiri daripada universiti, kolej universiti dan kolej kepada masyarakat,” katanya.

Karnival Pendidikan MyUni 2022 diadakan di pasar raya besar Mydin yang akan menjadi lokasi penganjuran kepada tujuh daripada 11 siri jelajah iaitu di Pulau Pinang, Perak, Melaka, Sarawak, Johor, Kelantan dan Lembah Klang.

Sumber