MYAirline ikrar kekalkan prestasi operasi tepat pada masanya

MYAirline ikrar kekalkan prestasi operasi tepat pada masanya

SYARIKAT penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd, komited untuk terus memberikan prestasi tepat masa (OTP) yang sihat dalam operasinya, memandangkan permintaan terpendam pasca Covid-19 dan musim perayaan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo.

Beroperasi dalam industri yang dikawal, beliau berkata, MYAirline sejak hari pertama operasinya pada 1 Disember 2022 sentiasa menekankan penyediaan kualiti yang tiada tandingan daripada segi keselamatan dan kebolehpercayaan termasuk berada dalam kedudukan terbaik dalam kelasnya untuk OTP dan pengalaman pelanggan untuk semua penumpang.

“Saya gembira untuk berkongsi bahawa kami telah mencapai 100 peratus OTP untuk beberapa kali dan kami dapat mengekalkan OTP yang sihat sehingga kini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Sabtu.

Rayner berkata demikian bagi mengulas terhadap komen Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada hari Jumaat yang menggesa syarikat penerbangan untuk memberi tumpuan kepada operasi mereka bagi mengurangkan kelewatan penerbangan.

Bagaimanapun, beliau berkata, wujud beberapa cabaran di luar kawalan seperti cuaca buruk dan kesesakan lalu lintas pesawat yang dihadapi oleh industri penerbangan dalam mengekalkan OTP yang sihat.

“Saya percaya penumpang akan memahami situasi ini, antara cabaran lain ialah beratur panjang ketika melalui proses pelepasan Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sabah dan Sarawak, aerobridge dan ketersediaan tempat letak kereta,” katanya.

Beliau berkata, MYAirline mahu menyelesaikan isu-isu ini dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan menggesa Kementerian Pengangkutan mengkaji semula perkara tersebut untuk menambah baik dan meningkatkan kualiti industri penerbangan Malaysia.

Sementara itu, syarikat penerbangan itu telah melancarkan laluan penerbangan terbaharunya yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Tawau.

Penerbangan pertama Z9 8903 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 6 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Tawau pada 8.55 pagi Sabtu..

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata, laluan baharu itu merupakan penerbangan kedua ke Sabah, menawarkan penerbangan satu kali dalam sehari dan merekodkan faktor muatan melebihi 90 peratus.

“Dengan reputasi tepat masa MYAirline yang berkembang pesat dan pengalaman penumpang yang positif, pengembara boleh menjangkakan perjalanan yang selesa dan menggembirakan di laluan baharu ini dengan pesawat Airbus A320-200,” katanya. – Bernama

Sumber