Muhasabah diri hadapi krisis

Muhasabah diri hadapi krisis

SHAH ALAM – Umat Islam seluruh dunia kini berdepan satu ujian berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan kebanyakan kerajaan sudah pun melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kuarantin atau perintah berkurung sepenuhnya.

Sepanjang tempoh ini juga, ada dalam kalangan umat Islam yang hilang mata pencarian kerana mungkin tidak boleh keluar bekerja atau ada yang menerima ujian positif penyakit itu.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, walau apa juga ujian yang melanda kehidupan sepanjang tempoh ini atau mungkin pada masa depan, ALLAH SWT ingin mengajar mengenai ‘sesuatu’ dan setiap perkara yang berlaku pasti mempunyai hikmah daripada Yang Esa.

Menurutnya, ALLAH mengingatkan bahawa setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya.

“Sesiapa yang ditimpa musibah perlu diingatkan supaya bersangka baik kepada ALLAH, memperbanyakkan doa, berikhtiar, tawakal dan bersabar.

“Sebagai manusia yang bergelar hamba, pastinya kita tidak terlepas dalam melakukan kesilapan atau dosa. Justeru, kita semua sentiasa bersabar, berusaha mengubati penyakit dan bertawakal selepas segala ikhtiar dilaksanakan,” katanya.

Dari kiri: Fazrul, Mohd Daud (tengah) dan Ustaz Abdul Khair ketika program Wacana Al-Quran Edisi Resolusi: Realiti survival rakyat yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Dari kiri: Fazrul, Mohd Daud (tengah) dan Ustaz Abdul Khair ketika program Wacana Al-Quran Edisi Resolusi: Realiti survival rakyat yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Al-Quran Edisi Resolusi: Realiti survival rakyat yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Program dikendalikan Ketua Penyelidik Yayasan Wawasan Ummah Ikhlas (WUIF), selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Abdul Khair Jalil yang membacakan surah al-Anbiya.

Katanya, setiap musibah dan bencana yang menimpa, sewajarnya dijadikan renungan dan muhasabah diri.

“Setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukan hingga mengundang bala bencana daripada ALLAH SWT.

“Muslim yang berjaya ialah yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada ALLAH SWT,” katanya.

Mohd Daud berkata, apa sahaja yang berlaku pada diri seseorang atau sesebuah bangsa adalah bertitik tolak daripada perilaku manusia sendiri.

“Ini bermakna musibah yang melanda seseorang atau sesuatu bangsa sebenarnya satu peringatan keras daripada Allah SWT terhadap tingkah laku manusia sebelum ini.

“Doa senjata ampuh seorang Mukmin apabila berada pada saat genting, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah yang berlaku di luar jangkaan. Perbanyakkan berdoa mengikut cara Nabi dengan penuh keinsafan,” katanya.

Menurutnya, masyarakat juga perlu mempunyai minda pengurusan krisis dan tidak lagi berfikir cara lama kerana berdepan dengan krisis yang belum tahu bila akan berakhir.

“Jadi perlu berani dan bijaksana untuk buat lonjakan baru pada diri sendiri, keluarga masyarakat dan negara. Kita perlu meningkatkan kualiti untuk menjadi dalam kalangan terbaik.

“Begitu juga kerajaan, perlu menilai semula sistem sedia ada untuk membina solusi baharu. Pemberian wang tidak dapat menyelesaikan semua perkara sebaliknya perlu menunjukkan ‘jalan’ untuk masyarakat bangkit kembali,” katanya.

Katanya, paling penting setiap pihak perlu mengamalkan konsep makruf dalam kehidupan seharian kerana ia solusi terbaik menghadapi krisis pandemik Covid-19 ini.

“Konsep makruf bukan terhad kepada diri kita sendiri, ia menyeluruh dan merangkumi semua perkara termasuk rumah tangga, ekonomi, alam sekitar dan pendidikan.

“Kebaikan yang memberi manfaat kepada masyarakat seperti peluang pekerjaan yang lebih banyak, pendidikan yang lebih sejahtera dan apa yang dianggap lebih memberikan kesejahteraan dan ketenangan kepada masyarakat berdepan dengan krisis ini,” katanya.



Sumber