MR D.I.Y lancar jualan kit ujian kendiri

MR D.I.Y lancar jualan kit ujian kendiri

SHAH ALAM – Peruncit perkakas rumah kegemaran rakyat Malaysia, MR D.I.Y telah melancarkan penjualan kit ujian kendiri calitan hidung di lebih 900 cawangannya di seluruh negara pada Januari 2022.

Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, ia dilancarkan susulan daripada pelancaran kit ujian kendiri air liur pada November tahun lalu.

“Varian Omicron sedang tersebar dengan pantas dan penting buat semua pihak menggiatkan usaha menjalankan ujian kendiri terutamanya di sekolah, pejabat, kilang dan rumah. MR D.I.Y. menjalinkan kerjasama dengan pembekal kami untuk membawa masuk kit ujian kendiri air liur sejak tahun lalu.

“Melalui pembelian pukal pula, kami menjadikan kit ujian kendiri ini lebih mudah untuk diperolehi bagi mereka yang memerlukan pada harga mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Goh berkata, usaha untuk mengedarkan kit ini kepada komuniti yang memerlukan adalah satu lagi cara MR D.I.Y untuk membantu meminimumkan risiko dalam kalangan komuniti.

“Kami telah mengedarkan lebih 1,000 kit ujian kendiri calitan hidung dan pelitup muka ke 23 rumah kebajikan di seluruh negara dalam usaha membantu negara membendung penyebaran jangkitan tersebut dalam kalangan komuniti yang paling memerlukan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kini, kit ujian kendiri calitan hidung, air liur dan wisel serta peralatan perlindungan lain seperti pelitup muka, pensanitasi tangan serta pelindung muka boleh didapati di cawangan-cawangan Kumpulan MR D.I.Y. di seluruh negara.

Sumber