Mir Valve pakar pembuat injap

Mir Valve pakar pembuat injap

SEBAGAI peneraju pembuatan industri minyak, gas dan petrokimia terbesar di Malaysia, Mir Valve Sdn Bhd (Mir Valve) menyasarkan untuk menjadi pembekal terkemuka bagi segmen itu yang kini terdapat di 30 lokasi di seluruh dunia.

Pengurus Reka Bentuk Kejuruteraannya, Md Fadlysyam Md Deri optimis bahawa sasaran itu mampu dicapai kerana pengeluar utama industri minyak dan gas dunia memilih Mir Valve sebagai pengeluar injap utama mereka berikutan lokasi strategik Malaysia yang berdekatan dengan semua pelanggan di rantau Asia Pasifik.

Menurutnya, Mir Valve ialah pakar dalam merancang dan membuat pelbagai jenis injap menggunakan teknologi dari Itali yang mana 100 peratus reka bentuk produknya dihasilkan oleh syarikat mereka di Shah Alam, Selangor.

“Teknologi dimiliki Mir Valve telah berjaya memenuhi permintaan industri minyak dan gas tempatan serta global untuk semua aplikasi di dasar laut, luar pesisir pantai, darat an, gas cecair asli (LNG), kilang dan petrokimia,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Tambahnya, Mir Valve kini menjadi salah satu pengeluar injap berjenama terkemuka di peringkat teratas dan pilihan utama industri minyak dan gas tempatan serta antarabangsa kerana menawarkan produk dan perkhidmatan injap yang sesuai untuk semua aplikasi mulai dari bacaan -196 darjah Celsius hingga 500 darjah Celsius.

Pengiktirafan

“Ia merupakan kelebihan Mir Valve kerana kami adalah satu-satunya pengeluar injap bebola (ball valve), injap gerbang (gate valve) dan injap semak (check valve) di Malaysia berbanding pembekal injap syarikat perdagangan tempatan lain kerana semuanya mengimport dari luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat itu turut menyasarkan pendapatan berjumlah RM85 juta pada tahun ini berbanding RM70 juta yang diperoleh tahun lalu.

“Industri minyak semakin menurun berikutan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia tetapi untungnya Mir Valve masih mempunyai tunggakan pesanan (back log) yang baik dalam pengeluaran untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini dengan selamat,” katanya.

Bagaimanapun, Md Fadlysham berkata, syarikat optimis bahawa keadaan akan bertambah baik dan mengharapkan industri minyak akan memasuki kitaran permintaan dalam masa dua tahun ke hadapan.

Mir Valve yang terletak di Shah Alam mempunyai pejabat jualan di Jakarta, Dubai dan wakil syarikat di Milan, Itali.

Setakat ini, syarikat itu menggajikan seramai 130 orang pekerja.

Sebahagian daripada injap yang dihasilkan oleh Mir Valve untuk kegunaan industri minyak dan gas di serata dunia.

Sebahagian daripada injap yang dihasilkan oleh Mir Valve untuk kegunaan industri minyak dan gas di serata dunia.

Katanya, Mir Valve menawarkan beberapa jenis injap untuk memenuhi keperluan industri seperti injap bebola, gerbang dan swing check (swing check valve) dengan ukuran 1 inci hingga 60 inci mengikut keperluan pelanggan bergantung kepada bahan mengikut gred.

Menurutnya, pengeluaran injap bebola mendapat permintaan tinggi dan pihaknya memiliki saiz ½ inci hingga 42 inci untuk dihantar kepada pelanggan.

“Injap bebola 42 inci adalah untuk pemasangan dasar laut di Oman dengan berat 26,000 kilogram dan tinggi 5.5 meter ketika dipasang sepenuhnya.

“Ia dianggap sebagai teknologi injap tertinggi untuk pembuatan injap bebola yang berjaya diselesaikan oleh Mir Valve.

“Syarikat juga telah mendapat pengiktirafan dan kelayakan standard daripada American Petroleum Institute API 6D, API 6DSS, API 6A dan API 17D untuk injap bebola, gerbang dan swing,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini Mir Valve yang berpengalaman selama 13 tahun dalam industri minyak dan gas telah menghasilkan sebanyak 23,000 injap bebola, gerbang dan swing check bagi memenuhi keperluan industri di seluruh dunia.

“Kami telah mengeksportnya ke 24 negara termasuk ke Asia Barat, Brazil, Kanada, Nigeria, Algeria, Korea Selatan, Rusia, Asia Tenggara dan wilayah Pasifik serta negara lain.

“Antara pelanggan tempatan yang mendapat perkhidmatan Mir Valve ialah Petronas, Shell, Gas Malaysia, MMHE, HESS, ExxonMobil, Sapura Energy dan Sapura OMV,” katanya.

Berkualiti

Beliau berkata, fungsi injap adalah untuk mengasingkan dan mengawal aliran gas serta minyak.

“Injap yang dihasilkan Mir Valve dipasang di dasar laut untuk menyedut minyak dan gas keluar dari tanah untuk kegunaan memasak di rumah atau bahan api kereta,” katanya.

Md Fadlysyam berkata, syarikat mengeluarkan produk bertaraf dunia dan jangka hayat setiap injap adalah antara 25 hingga 30 tahun.

Seorang pekerja Mir Valve sedang memeriksa kualiti injap dihasilkan syarikat berkenaan yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

Seorang pekerja Mir Valve sedang memeriksa kualiti injap dihasilkan syarikat berkenaan yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

“Kami selalu berbincang dan mendengar kehendak pelanggan.

“Kami juga membuat penambahbaikan setelah mendengar sendiri pendapat mereka demi memastikan produk dihasilkan memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Katanya, Mir Valve mempunyai 10 barisan produk dengan pelbagai jenis injap, masing-masing mempunyai model yang ditandakan dengan nombor unik seperti MV1, MV3, MV5 dan lain-lain.



Sumber