Minat cetus ilham Fan C Balloon

Minat cetus ilham Fan C Balloon

BERMULA daripada minat telah mendorong ibu kepada tiga cahaya mata, Rostina Abd Raman, 42, untuk melangkah lebih jauh ke dunia perniagaan yang diusahakan sejak 2017.

Perniagaan kedai cenderahati Fan C Balloon yang bertapak di Laluan Pinji Seni, Ipoh itu semakin berkembang dan dikenali ramai.

Menurut Rostina, ketika mula menceburi perniagaan, dia masih berkhidmat sebagai pengurus kanan jualan di sebuah hotel dan menjadikan perniagaan itu sebagai kerjaya sampingan.

Bagaimanapun selepas menerima permintaan menggalakkan daripada pelanggan, beliau mula berfikir untuk terbabit secara sepenuh masa dan akhirnya nekad berhenti kerja, tahun lalu.

“Ia bukan keputusan mudah, apatah lagi memikirkan kos sara hidup sekarang yang tinggi dan saya pula bukan dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

“Namun berkat sokongan suami dan keluarga, saya yakinkan diri dan tidak mahu berpatah balik,” katanya.

Rostina berhasrat untuk membuka cawangan baru di daerah lain di negeri ini bagi memenuhi permintaan dan tempahan pelanggan.

Rostina berhasrat untuk membuka cawangan baru di daerah lain di negeri ini bagi memenuhi permintaan dan tempahan pelanggan.

Ternyata keputusan yang diambil wanita ini tepat apabila perniagaannya mendapat kepercayaan daripada beberapa syarikat korporat termasuk hospital sebagai pembekal utama cenderahati, hamper dan dekorasi bagi majlis dan keraian.

“Alhamdulillah, dengan izin ALLAH dan sokongan keluarga, saya dapat fokus terutama dari segi strategi pemasaran untuk meningkatkan tempahan dan kualiti perkhidmatan.

“Selepas lebih lima tahun beroperasi, sambutan daripada orang ramai semakin memberangsangkan dari hari ke hari,” katanya.

Jelas beliau, Fan C Balloon menjalankan perniagaan penghantaran jambangan bunga dan belon, hadiah serta coklat menerusi konsep penghantaran ke rumah pelanggan pada harga serendah RM50.

Katanya, mereka juga menyediakan perkhidmatan dekorasi bagi semua majlis, dekorasi meja dan bilik hotel serta penyediaan hamper dan cenderahati untuk perayaan dan majlis bermula pada harga RM150.

Menyentuh pengalaman berniaga semasa pandemik, Rostina berkata, kemudahan teknologi dan perkembangan jualan secara dalam talian telah banyak membantu perniagaannya terus bertahan.

“Tempahan yang diterima meningkat hampir 40 peratus berbanding sebelumnya dan kebanyakan pelanggan adalah dari luar negeri yang menempah perkhidmatan surprise delivery kepada ahli keluarga mereka di Perak,” katanya.

Sumber