Milo tawar hadiah lumayan

Milo tawar hadiah lumayan

MILO menerusi kempen Milo Raikan Kebaikan Ramadan telah melancarkan peraduan beli dan menang selama sembilan minggu, baru-baru ini dan pengguna berpeluang memenangi hadiah mingguan yang lumayan sebagai usaha menyemarakkan sambutan Ramadan pada tahun ini.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Milo, Nestle (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen berkata, melalui kempen Milo Raikan Kebaikan Ramadan, Milo terus menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus menikmati kebaikan khasiat serta kelazatan Milo mengikut cara kesukaan masing-masing, agar mereka dapat menyempurnakan Ramadan ini dengan penuh bertenaga.

Menurutnya, bermula 1 Mac hingga 30 April 2022, pengguna di seluruh negara layak menyertai peraduan Milo Raikan Kebaikan Ramadan dengan hanya pembelian minimum mana-mana produk Milo terpilih bernilai RM15 dalam satu resit dan menghantarkan penyertaan mereka secara dalam talian (online).

“Pemenang akan dipilih setiap minggu dan seramai 27,000 peserta berpeluang memenangi hadiah bonus mingguan Pin Tambah Nilai Touch ‘n Go bernilai RM5. Bagi hadiah sagu hati mingguan berupa satu set Koleksi Van Milo Vintaj Edisi Terhad bakal menjadi rebutan 1,800 peserta setiap minggu.

“Seramai 36 pemenang bertuah akan membawa pulang hadiah utama mingguan berupa set Van milo Vintaj Jongkong Emas Tulen 999 bernilai RM11,000. Setiap set didatangkan dalam empat reka bentuk van milo ikonik yang mengimbau nostalgia merentasi dekad,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bagi melipatgandakan peluang untuk menjadi pemenang, pengguna boleh membeli mana-mana produk Milo berikut untuk meraih dua penyertaan iaitu Milo 3-in-1, Milo Less Sugar, Milo Stik Pek, Milo with Whole Grain Cereal dan Milo tin 1.5 kilogram (kg). Tiada had ke atas jumlah penyertaan yang boleh dihantar oleh pengguna.

Peraduan Milo Raikan Kebaikan Ramadan mengalu-alukan semua penggunanya berumur 18 tahun dan ke atas yang merupakan penduduk Malaysia dengan dokumen pengenalan yang sah.

Resit rasmi diperlukan sebagai bukti pembelian dan hanya diterima daripada peruncit yang mengambil bahagian termasuk pasar mini, pasar raya, pasar raya besar dan kedai serbaneka utama di seluruh Malaysia, serta platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee.

Untuk terma dan syarat penuh serta sajian resipi Milo istimewa untuk menyempurnakan sambutan Ramadan, layari https://www.milo.com.my/raikankebaikanramadan.

Sumber