MILES with ecoBrown’s tawar hadiah bernilai RM1.2 juta

MILES with ecoBrown’s tawar hadiah bernilai RM1.2 juta

SHAH ALAM – Serba Wangi Sdn Bhd (Serba Wangi) menerusi salah satu jenamanya, ecoBrown’s melancarkan acara walkathon secara virtual, MILES with ecoBrown’s sepanjang November dengan menawarkan hadiah bernilai RM1.2 juta.

Program yang diadakan sempena Bulan Kesedaran Diabetes Negara bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes yang semakin membimbangkan di Malaysia dan memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Serba Wangi dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini, dianggarkan 3.9 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes, manakala 7.5 juta rakyat Malaysia berisiko untuk menghidap penyakit ini pada masa hadapan.

“Sehubungan itu, ecoBrown’s ingin memainkan peranannya dengan memberi bantuan dan sokongan kepada mereka yang menghidap penyakit ini melalui acara walkathon secara virtual yang dianjurkan.

“Dengan matlamat yang sama iaitu mewujudkan kesedaran, pencegahan dan pengetahuan mengenai diabetes, ecoBrown’s bekerjasama dengan Diabetes Malaysia meneruskan usaha menyelamatkan nyawa orang ramai daripada penyakit ini,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, dengan tercapainya matlamat kolektif yang melibatkan semua peserta kempen berjalan sebanyak 500,000 langkah, sejumlah RM25,000 akan didermakan kepada Diabetes Malaysia.

“ecoBrown’s juga turut bekerjasama dengan Khind Malaysia, ARISSTO dan KPJ Healthcare bagi menyokong inisiatif ini.

“Peserta boleh mendaftar untuk menyertai acara walkathon secara virtual ini melalui aplikasi mudah alih BookDoc secara percuma,” kata kenyataan itu.

Pelbagai hadiah menarik disediakan antaranya peserta yang memilih untuk membayar token pendaftaran bernilai RM20 dan berjaya berjalan 100,000 langkah akan menerima cenderamata eksklusif ecoBrown’s.

Sementara itu, Pengarah Serba Wangi, Zishi Low berkata, MILES with ecoBrown’s merupakan acara walkathon secara virtual yang bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes tetapi membantu rakyat Malaysia berisiko menghidap diabetes untuk menjalankan gaya hidup sihat dan seimbang

“ecoBrown’s merupakan jenama yang mengutamakan gaya hidup sihat dan cergas. Mengambil kira kewujudan penyakit diabetes yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia, inilah masa yang tepat untuk kami memainkan peranan kami,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara walkathon secara virtual MILES with ecoBrown’s, sila layari www.ecobrown.com/miles-with-ecobrowns/.

Sumber