MGB kembali catat pertumbuhan kukuh suku keempat 2021

MGB kembali catat pertumbuhan kukuh suku keempat 2021

SHAH ALAM – MGB Berhad yang merupakan anak syarikat LBS Bina Group Berhad mencatatkan peningkatan pendapatan dan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM188.55 juta dan RM10.34 juta pada suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (Q4FYE2021).

MGB dalam satu kenyataan berkata, pendapatan tersebut meningkat sebanyak 3.84 peratus daripada RM181.57 juta manakala PAT melonjak sehingga 79.20 peratus berbanding RM5.77 juta berbanding dengan suku tahunan 2020.

Menurutnya, bagi akhir 2021, pendapatan syarikat menunjukkan peningkatan 5.41 peratus dari tahun ke tahun daripada RM563.27 juta kepada RM593.76 juta.

“PAT melonjak 89.43 peratus daripada RM14.00 juta kepada RM26.52 juta. Peningkatan positif ini merupakan sebahagian daripada sumbangan projek-projek yang sedang berjalan.

“Beberapa projek seperti KITA Harmoni, KITA Bayu dan LBS Skylake Residence telah siap sepenuhnya pada FYE2021. Selain itu, syarikat turut berjaya menutup dan memuktamadkan akaun projek yang selesai sebelum ini dengan kontraktor utama sekali gus menyumbang kepada keputusan kewangan,” katanya pada Rabu.

Tambahnya, segmen pembinaan dan perdagangan merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB dengan RM576.95 juta pendapatan direkodkan pada akhir 2021 berbanding RM479.14 juta pada 2020.

“Walaupun prestasi MGB sedikit terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, pendapatan secara keseluruhan kembali meningkat apabila aktiviti pembinaan diberi kebenaran untuk beroperasi sepenuhnya pada Q4FYE2021.

“Secara amnya, pencapaian kukuh ini dicatat menerusi keuntungan kasar akhir 2021 berikutan daripada beberapa projek yang telah siap dan yang sedang berjalan selain melalui piawaian kawalan kos yang ketat, rundingan serta penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB yang mengurangkan penggunaan tenaga buruh,” ujarnya.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Datuk Sri Lim Hock San berkata, meskipun berdepan dengan cabaran pandemik di tahun 2021, MGB telah bersiap sedia sepenuhnya apabila PKP diumumkan.

“Oleh itu, saya amat gembira dengan pencapaian MGB bagi tahun 2021. Sungguhpun MGB masih di dalam proses pemulihan, dengan keputusan suku keempat yang dilihat meningkat berbanding tren penurunan dari suku pertama hingga suku ketiga, kami akan terus memantau pencapaian syarikat.

“Tahun ini merupakan tahun yang terbaik buat MGB. Menerusi pendekatan Value Added Driven Technology (VadTech), kami berhasrat untuk menyediakan penyelesaian kos yang efektif dan inovatif kepada pelanggan kami.

“Kami juga telah berjaya membantu pelanggan kami dengan segmen pembinaan yang mesra kos dan sistem IBS yang sangat efisien,” ujarnya.

Tambah beliau, MGB turut berharap dapat mengurus dan bertanggungjawab sebagai rakan kongsi kejuruteraan, perolehan dan pembinaan daripada peringkat awal hingga akhir.

Jelasnya, dengan 22 projek yang masih berjalan daripada segmen pembangunan hartanah dan pembinaan, MGB berada pada kedudukan pendapatan yang kukuh untuk menjana pendapatan kira-kira RM4.15 bilion pada tahun akan datang.

“Ini berdasarkan kepada tempahan sebanyak RM1.90 bilion dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar RM2.15 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah,” katanya.

Jelas beliau, selain daripada kepesatan pembinaan bagi projek Residensi Bintang Bukit Jalil, Mercu Jalil, Ritma Perdana dan Melodi Perdana di perbandaran LBS Alam Perdana, MGB turut memberi tumpuan untuk menyediakan 7,210 unit Rumah Selangorku Idaman MBI kepada rakyat Selangor.

“Pelancaran rumah pertama Rumah Selangorku MBI, Rumah Selangorku Idaman BSP menerima sambutan menggalakkan di mana 1,312 unit ditempah sepenuhnya dalam masa tiga bulan dari pelancarannya.

“Ini merupakan petunjuk positif yang menggambarkan rakyat percaya kepada kemampuan kami di dalam menyediakan projek perumahan yang lestari. MGB yakin mampu memberikan yang terbaik pada tahun yang akan datang kepada pemegang saham.” katanya.

Sumber