Meriahkan Seminar Reboot Politeness Towards Malaysia & Global Harmony

Meriahkan Seminar Reboot Politeness Towards Malaysia & Global Harmony

KEHIDUPAN kita pada akhir zaman banyak berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan. Untuk hidup berdaya saing, adakalanya kita begitu mementingkan diri hingga terhakis akhlak mulia yang perlu diungguli sebagai Muslim.

Untuk mengajak orang ramai kembali menjadi bangsa berbudi penyayang, kempen Reboot Towards Malaysia & Global Harmony bakal digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bermula tahun 1441H dan 2020.

Pelajar-pelajar daripada Jabatan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa dan Jabatan Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Antarabangsa, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh di Muar, Johor menyahut kempen tersebut dengan menganjurkan Seminar Reboot Politeness Towards Malaysia & Global Harmony dengan kerjasama WUIF dan Rumah Ngaji.

Bertemakan Kembalikan kesantunan menuju keharmonian Malaysia dan Global, seminar itu akan diadakan di Dewan Konvensyen, Hub Pendidikan Tinggi, Pagoh pada jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 23 November ini.

Aktiviti bakal dimulakan dengan pengisian Pesan Kesantunan oleh ulama Datuk Dr Nooh Gadot yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor diikuti dengan Sesi Tadabbur & Tazakkur bersama Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan perkongsian daripada anak muda, Afiq Ismail yang dikendalikan moderator Akhmal Hakim Mohamad.

Turut diadakan persembahan hos dan selebriti agama, Raqib Majid.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut menjadi momentum penting untuk menggerakkan kempen Reboot Malaysia & Global Harmony ke arah World #QuranHour pada 13 Mei 2020 bersama 20 Ramadan 1441H dan Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos pada tahun hadapan.

“Tema #QuranHour kali ini membawa Surah al-Rahman dan Surah al-Kahf ayat 19 yang menunjukkan nilai kesantunan termasuk sifat lemah lembut, berbuat baik, belas kasihan dan berhemah.

“Semoga mesej kesantunan yang akan dikongsikan oleh pentadabbur, tokoh ulama dan anak muda dapat dimanfaatkan seterusnya mewujudkan keharmonian rakyat di negara ini,” katanya.

Sempena seminar tersebut, majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Video Pendek Reboot Politeness turut diadakan pada hari tersebut.

Pertandingan tersebut mengangkat nilai kesopanan yang terbuka kepada pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara hingga 15 November ini.

Selain itu, orang ramai dijemput hadir ke program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH 10.0) bertajuk Legasi ke Syurga di Musollah Mahallah Zaid Harithah, UIAM Kampus Pagoh, jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi pada hari tersebut. Antara tetamu jemputannya ialah Pengarah Urusan Mak Siti Products (M) Sdn Bhd, Siti Khawa Jannah Nasuha akan berkongsi pengalaman beliau dalam sesi Bersama Tokoh.

Ikut perspektif al-Quran

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, objektif Seminar Reboot Politeness Towards Malaysia & Global Harmony adalah untuk membangkitkan kesopanan yang ditonjolkan dalam Surah al-Kahf ayat 19 dan Surah al-Rahman yang menyebut al-Bayyan (nikmat pertuturan yang membawa kepada kesantunan bahasa di dalam percakapan).

“Kesantunan dalam kemanusiaan sebagai nilai universal yang diambil daripada perspektif al-Quran diharapkan dapat memberi semangat kepada orang Islam dan bukan Islam khususnya dalam kalangan generasi pelajar, pensyarah dan ibu bapa.

“Surah al-Kahf merupakan surah perjuangan. Jadi, kita perlu memberi perhatian bahawa semakin seseorang itu berjuang untuk keluarga, bangsa dan agama, semakin bersopanlah dia agar orang tertarik dengan perjuangan tersebut.

“Pendekatan untuk menanamkan kesantunan dalam masyarakat adalah pertama, masukkan nilai tauhid kepada ALLAH SWT; kedua, merujuk kepada sumber agama yang membawa kebaikan iaitu al-Quran dan hadis dan ketiga, ciri pemuda al-Kahf yang perlu diajarkan kepada anak untuk menjadi orang beradab,” katanya.

Seminar Reboot Politeness itu nanti akan diterajui Dr Arina Johari dan Dr Nor Zainiyah Norita Mokhtar yang masing-masing merupakan pensyarah kanan daripada Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, UIAM selaku penasihat.

Sementara, pelajar kursus Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, Fify Nur Adila Mohamed Feroz pula bertindak sebagai pengarah program berkenaan.

Mengulas tentang program itu, Arina berkata, seminar tersebut merupakan projek bagi pelajar-pelajar yang mengambil kursus BMCO 3102 Kesantunan Berbahasa; BMCO 2107 Pragmatik dan Wacana bagi Program Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa dan ENCO 3101 Semantics bagi Program Bahasa Inggeris Untuk Komunikasi Antarabangsa.

ARINA

ARINA

“Seminar Reboot Politeness menepati matlamat untuk menyemarakkan sifat santun dan mengembalikan nilai santun dalam diri setiap individu iaitu berbuat baik, menjaga lisan dan menasihati perkara yang baik di antara satu sama lain.

“Golongan sasaran bagi kedua program tersebut ialah pelajar UIAM (Pagoh dan Gombak), Universiti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, politeknik, sekolah, badan kerajaan dan masyarakat setempat,” katanya.

Nor Zainiyah pula berkata, penganjuran seminar itu secara tidak langsung akan memberi pendedahan tentang dunia pekerjaan kepada para pelajar.

Orang ramai dialu-alukan memberi sumbangan bagi menjayakan Seminar Reboot Politeness towards Malaysia & Global Harmony melalui UIAM Operating Account, Bank Muamalat 1407-0000004-71-6 dan boleh hubungi 013-661 6313.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *