Menjejak panaroma memukau Kanyon Imbak

Menjejak panaroma memukau Kanyon Imbak

KEPADA pencinta alam semula jadi, Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) yang terletak Ulu Kinabatangan, Tongod, Sabah perlu menjadi salah satu destinasi wajib dikunjungi.

Masakan tidak, hutan yang masih tidak dicemari dengan pembangunan semestinya menawarkan pengalaman dan pemandangan yang cukup memukau.

Penubuhan Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) yang terletak dalam kawasan hutan hujan dara berkeluasan 27 hektar di zon teras ICCA juga banyak manfaatnya.

ICSC di Kanyon Imbak ICCA.

ICSC di Kanyon Imbak ICCA.

ICSC disifatkan merupakan antara langkah signifikan dalam usaha Kerajaan Negeri untuk melindungi warisan alam semula jadi dan persekitaran hutan hujan Sabah.

Sejak tahun 2010, Petronas telah menyumbang sebanyak RM83 juta ke arah usaha konservasi Kanyon Imbak, menjadikannya usaha sama tempatan yang pertama dan terbesar bersama Kumpulan Yayasan Sabah.

Berpeluang menjejakkan kaki ke sana baru-baru ini merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Pada edisi kali ini, penulis akan bercerita lanjut tentang kehebatan dan aura Kanyon Imbak dengan pembaca Sihat:Aktif.

MASIH ingatkah anda tentang hikayat Puteri Gunung Ledang?

Mengikut ceritera purba, diriwayatkan satu rombongan peminangan untuk si raja terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan ranjau untuk menyunting sang puteri. Dalam erti kata lain, bukan mudah untuk memiliki si rupawan yang sangat didambakan.

Kisah itu sebenarnya diumpamakan dengan kepayahan penulis bersama rombongan media lain menjejakkan kaki ke Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA), Ulu Kinabatangan, Tongod, Sabah baru-baru ini.

Untuk sampai ke sana, memang memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kental.

Masakan tidak, perjalanan mengambil masa kira-kira 10 jam dari Kota Kinabalu dengan kenderaan pacuan empat roda.

SEBAHAGIAN laluan sukar yang perlu dilalui kenceraan pacuan empat roda.

SEBAHAGIAN laluan sukar yang perlu dilalui kenceraan pacuan empat roda.

Tempoh masa yang panjang itu termasuk dua jam meredah laluan belukar dan tanah merah.

Bagaimanapun, apa yang penulis boleh katakan, itu hanya cabaran pada peringkat permulaan.

Dari sudut hati terdalam, penulis boleh katakan, keseluruhan perjalanan ke Kanyon Imbak sangat menyeronokkan lebih-lebih lagi penulis seorang yang cenderung dengan aktiviti lasak dan pencinta alam sekitar.

Rombongan dengan tajaan penuh Yayasan Petronas dan Yayasan Sabah ini telah membawa satu kenangan yang indah dalam diari kehidupan penulis.

Penulis ibaratkan Kanyon Imbak bagaikan ‘si dara’ kerana persekitaran semula jadinya kekal terpelihara dan tidak sedikit pun diusik oleh pembangunan.

Laluan mencabar

Pengembaraan kami bermula dari Kota Kinabalu. Lokasi pertama disinggah ialah Pekan Nabalu, Kota Belud yang menjadi lokasi terkenal bagi melihat pemandangan puncak Gunung Kinabalu.

Kemudian, kami singgah mengisi perut di Pekan Ranau dan Pekan Telupid sebelum kami perlu meredah laluan off-road yang mengambil masa kira-kira tiga jam setengah.

Dari sini, perjalanan untuk ke Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) mengambil jarak 68 kilometer (km).

Penulis bersama seorang lagi rakan media dan anggota kelab 4×4 Trekker berada dalam satu kenderaan pacuan empat yang dipandu oleh pemandu berpengalaman yang mesra disapa Abang Abu.

Pada saat penulis sedang khusyuk menikmati panorama sekeliling, tiba-tiba kenderaan kami pancit selepas dua jam setengah melalui laluan yang berlekuk-lekuk dan berbatu.

ABANG Abu membetulkan tayar keretanya yang dinaiki penulis dan seorang lagi rakan media. yang pancit.

ABANG Abu membetulkan tayar keretanya yang dinaiki penulis dan seorang lagi rakan media. yang pancit.

Namun, kami tidak panik sebaliknya mengambil pendekatan menumpang kenderaan rakan-rakan media yang lain. Alhamdulillah, kami tiba di ICSC dan di sinilah ‘kediaman’ kami buat sementara waktu.

Pohon 2,000 tahun

Masuk hari ketiga, itenari yang dijadualkan antara yang paling ditunggu-tunggu. Tibalah masanya penulis bersama yang lain meredah belantara.

Kali ini, kami tidak lagi dengan menaiki pacuan empat roda berikutan keadaan geografi yang tidak mengizinkan.

Ya, kami harus berjalan kaki dari Sungai Imbak, ICSC. Jujur kata, biarpun hanya berjalan-jalan ‘manja’, namun, tanpa melalui latihan fizikal, bukanlah mudah dan terasa ‘berat’ buat penulis.

Pun begitu, aura belantara seakan memanggil untuk penulis terus ‘menjejakinya’. Apa yang pasti, visi penulis ialah mahu menatap sendiri keindahan syurga rimba dara itu yang dikatakan memiliki kekayaan flora dan fauna serta landskap yang cukup unik.

Sesungguhnya, kepenatan dan peluh yang membasahi selama kira-kira 20 minit dalam hutan berbukit ini ‘berbayar’ apabila kami melihat sendiri Pokok Belian Gergasi (Big Belian Tree).

Pokok berusia sekitar 2,000 tahun itu memang mengagumkan. Saiznya memerlukan depaan tangan lebih kurang enam orang dewasa. Bayangkanlah ukur lilitnya!

BIG Belian Tree, ukur lilitnya yang memerlurkan depaan tangan enam orang dewasa.

BIG Belian Tree, ukur lilitnya yang memerlurkan depaan tangan enam orang dewasa.

Kami terus meneroka Kanyon Imbak pada sebelah petang dengan adrenalin yang semakin bertambah.

Kali ni, perjalanan memakan masa selama sejam dengan kenderaan dan 45 minit berjalan kaki mendaki kawasan hutan sebelum ‘berkampung’ sehari di Stesen Penyelidikan Kuli yang terletak di Gunung Kuli.

Di sinilah, penulis dan rakan media lain benar-benar dapat melihat sendiri keindahan ‘si dara’ Kanyon Imbak.

Penulis hilang kata-kata melihat keagungan Sang Pencipta. Hati ini sungguh tersentuh dan sebak.

Bayangkan tumbuh-tumbuhan, pokok gergasi dan renek di hutan ini tumbuh melata. Ada di antaranya tidak pernah penulis lihat. Subhanallah.

Aroma Kanyon Imbak sungguh menyegarkan hati dan fikiran. Kicauan burung dan unggas serta peluang menikmati kehijauan rimba benar-benar mengasyikkan. Hilang seketika kekusutan memikirkan suasana di kota yang membenakkan akal dan fikiran.

Penulis membayangkan seperti berada di ‘alam fantasi’ ketika memasuki hutan yang menjadi nadi negeri Sabah Di Bawah Bayu itu.

Bayangkan, sepanjang perjalanan, penulis dapat melihat banyak pokok yang besar-besar seperti Pokok Belian dan Kapur Merah setinggi lebih 60 meter. Belitan akarnya saja ada melebihi ketinggian penulis yang berketinggian 160 sentimeter.

Selepas sebahagian kami ‘berkawan’ dengan pacat dan melepasi tiga anak sungai serta bermandikan peluh, akhirnya kami tiba di Stesen Penyelidikan Kuli hampir lewat petang.

Penulis teruja untuk bermalam di rumah calet papan yang tersedia. Selepas makan malam, kami menikmati suasana kepekatan malam yang membangkitkan rasa damai dalam jiwa. Tambahan pula calet penulis betul-betul bersebelahan anak sungai.

Penulis tidak mengambil masa untuk dibuai lena pada malam itu sementelah ‘didendangkan’ gemersik bunyian arus anak sungai dan cengkerik. Sememangnya, badan terasa segar ketika bangun pada pagi itu.

Pengalaman hebatHari keempat diteruskan dengan kami dibahagikan kepada dua kumpulan.

Dek kekangan masa untuk berkunjung di dua lokasi seperti yang dicadangkan, satu kumpulan berpeluang ke kawasan Air Terjun Kuli dan selebihnya ke Air Terjun Maya yang menjadi check point wajib sekiranya anda berkunjung ke ICCA.

Rakan media yang teruja melompat di Air Terjun Maya.

Rakan media yang teruja melompat di Air Terjun Maya.

Lawatan kedua-dua lokasi air terjun itu menjadi penutup kepada pengembaraan kami menjejaki kawasan hutan simpan atau ‘si dara’ Kanyon Imbak.

Apa boleh disimpulkan, cabaran yang kadangkala menguji mental dan fizikal dengan pendakian hampir 70 darjah kecuraman memberikan pengalaman baharu buat penulis.

Sesungguhnya, peluang menatap sendiri Kanyon Imbak memberi kepuasan sebenar buat penulis yang baru peringkat amatur sebagai pendaki. Jutaan terima kasih penulis ucapkan kepada pihak penganjur, Petronas.

Bagi pencinta alam yang benar-benar ingin mencabar diri dan berhasrat mahu menikmati panorama belantara yang dari perspektif berbeza, sudah tentu kunjungan ke ICCA pastinya tidak mengecewakan.

ICCA, ICSC ‘stesen’ buat penyelidik laksana kajian biodiversiti, tenaga baharu

KAWASAN Konservasi Kanyon Imbak (ICCA), Ulu Kinabatangan, Tongod, Sabah merupakan nadi usaha konservasi dan aktiviti penyelidikan penyelidik, kata Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Yayasan Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh.

Ahmad Nizam berkata, bagi terus memacu aktiviti di situ, Petronas melalui Yayasan Petronas merancang untuk memperkenalkan satu geran penyelidikan.

“Geran ini bagi mendorong kajian berkaitan sinki karbon, biodiversiti serta tenaga baharu. Kami yakin kerjasama dengan Kumpulan Yayasan Sabah akan mampu membantu kita melindungi hak cipta intelektual dan paten komersil yang mungkin terhasil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria menyifatkan Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) akan memperkukuhkan posisi ICCA sebagai pusat pembelajaran komuniti pribumi dalam bidang pemuliharaan biodiversiti.

ICSC disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan dibuka secara rasmi 26 Mac lalu.

Mohd Shafie (dua dari kiri) semasa majlis pelancaran ICSC.

Mohd Shafie (dua dari kiri) semasa majlis pelancaran ICSC.

“Seiring misi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di negeri ini, pembinaan ICSC akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam hospitaliti dan pelancongan kepada komuniti.

“Kami berharap mereka dapat mempertingkatkan taraf hidup dalam kaedah yang lestari,” katanya.

Menyokong usaha itu, Renjer Hutan Kanan, Yayasan Sabah, Kho Ju Ming berkata, pelan penyelidikan dan pelancongan dapat membantu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Ju Ming biasa membawa dan mengiringi pelancong dan penyelidik hampir setiap bulan sejak kira-kira tiga tahun lalu.

“Biasanya setiap bulan ada saja pelancong tempatan dan luar negara ke sini. Mereka sukakan hutan kita.

“Pernah ada pelancong dari England sampai menangis gembira melihat pokok di sini. Mereka teruja meneroka, mengambil gambar dan melihat kekayaan alam semula jadi di sini yang tidak terdapat di tempat mereka,” kata renjer berpengalaman lebih 20 tahun ini.

ANEKDOT

ICCA:

-Terletak kira-kira 350 kilometer dari Kota Kinabalu.

– ICCA ialah kawasan hutan dara kelas pertama yang diletakkan di bawah Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) oleh Kerajaan Negeri Sabah.

– ICCA menjadi tumpuan saintis yang membuat penyelidikan dan kajian mengenai habitat dalam hutan ini.

– Terdapat kira-kira 70 peratus pokok Kapur Merah yang kebanyakannya setinggi lebih 60 meter. Pokok ini dikatakan boleh menghasilkan minyak dan bau aroma.

– Raflesia paling terkecil juga pernah ditemui di sini dan tidak terdapat di kawasan lain di Sabah.

ICSC:

– Pelancarannya bagi melindungi warisan alam semula jadi dan hutan hujan Sabah.

– Tingkat keupayaan sebagai pusat kajian alam sekitar dan biodiversiti kelas dunia.

– Satu daripada lima kawasan konservasi yang diuruskan Kumpulan Yayasan Sabah termasuk Lembah Danum, Lembangan Maliau, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas.

– Sejak tahun 2010, Petronas telah menyumbang sejumlah RM83 juta ke arah usaha konservasi Kanyon Imbak.

– Ia merupakan usaha tempatan yang pertama dan terbesar bersama Kumpulan Yayasan Sabah.

– ICSC adalah kemudahan seluas 27 hektar berada dalam zon teras ICCA (berkeluasan 27,599 hektar).Kanyon Imbak



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *