Maxis catat untung bersih RM1.18 bilion

Maxis catat untung bersih RM1.18 bilion

SHAH ALAM – Maxis Bhd (Maxis) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.181 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Maxis dalam kenyataan berkata, keuntungan pada tahun lepas menurun sebanyak 9.7 peratus disebabkan Cukai Makmur yang dikenakan pada tahun tersebut.

Bagaimanapun, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasannya (EBITDA) meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada RM3.938 bilion didorong oleh hasil yang lebih tinggi.

Maxis turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham pada suku keempat tahun kewangan 2022, menjadikan dividen tahun penuh kepada 20 sen sesaham.

Berbanding tahun kewangan 2021, syarikat itu mencatatkan hasil perkhidmatan yang lebih tinggi dengan EBITDA dan aliran tunai bebas operasi yang stabil pada RM3.303 bilion bagi 2022.

Hasil perkhidmatan meningkat kepada RM8.336 bilion berikutan pertumbuhan dalam semua segmen perniagaan pengguna dan perusahaan.

Perniagaan pengguna mencatatkan hasil sebanyak RM6.811 bilion, meningkat 4.8 peratus.

Sementara itu, pasca bayar terus menyaksikan pertumbuhan pelanggan yang kukuh, meningkat 6.5 peratus menjadikan jumlah langganan pasca bayar kepada 3.34 juta.

Namun prabayar mencatatkan penurunan sebanyak 2.9 peratus dalam langganan, disebabkan migrasi prabayar kepada pasca bayar yang berterusan.

Segmen itu kekal berdaya tahan dengan pelanggan keseluruhan stabil pada 5.79 juta dan memberikan hasil sebanyak RM2.693 bilion.

Kesalinghubungan kediaman menyampaikan pertumbuhan hasil dua angka, menyumbang RM843 juta, meningkat 16.9 peratus.

Segmen ini kekal berdaya tahan, dengan pelanggan keseluruhan stabil pada 5.79 juta dan memberikan hasil sebanyak RM2.693 bilion.

Hasil Perniagaan Perusahaan berjumlah RM1.525 bilion tidak termasuk ‘wholesale voice’, hasil teras untuk perniagaan meningkat 8.8 peratus dan segmen itu terus menunjukkan potensi peningkatan hasil pada masa hadapan.

“Maxis menutup tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan mencatatkan pertumbuhan merentasi perniagaan pengguna dan perusahaan, kekal di landasan dengan strategi konvergen.

“Berbanding tahun kewangan 2021, syarikat mencatatkan hasil perkhidmatan yang lebih tinggi dengan EBITDA dan aliran tunai bebas operasi yang stabil pada RM3.303 bilion bagi 2022,” menurut kenyataan berkenaan.

Goh Seow Eng

Goh Seow Eng

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Goh Seow Eng berkata, syarikat itu tangkas dalam menyesuaikan diri dengan landskap telekomunikasi yang berubah-ubah.

“Kekuatan kami dalam mudah alih, rangkaian, tawaran konvergen dan jejak gentian secara meluas dengan meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk terus maju sebagai penyedia penyelesaian konvergen terkemuka di Malaysia.

“Banyak yang perlu dilakukan tahun ini kerana kami menjangkakan persekitaran yang semakin mencabar dan kompetitif pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai 5G, Maxis berharap dapat melancarkan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G secara komersial tidak lama lagi.

Tambah kenyataan itu lagi, syarikat telekomunikasi itu terus membangunkan kes penggunaan 5G pelbagai industri dengan pemain utama untuk kegunaan komersial melalui 5G Alliance yang semakin berkembang.

“Ia juga telah memperluaskan perkhidmatan perayauan antarabangsa 5G ke lebih banyak negara dan telah melancarkan pelbagai peranti 5G kepada pelanggan,” ujarnya.

Sumber