Maxis bincang dengan kerajaan pelaksanaan 5G

Maxis bincang dengan kerajaan pelaksanaan 5G

KUALA LUMPUR – Maxis Bhd (Maxis) sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan untuk mengawal selia pelaksanaan rangkaian 5G syarikat itu kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis, Gokhan Ogut berkata, kumpulan telekomunikasi itu kini bekerjasama dengan pengawal selia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung perkara tersebut.

“Maxis mengalu-alukan pelaksanaan 5G dan bekerjasama dengan pengawal selia dan kementerian.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat memberitahu anda tarikh pelancaran 5G itu sekarang kerana perundingan masih berjalan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen jenama ‘Rangkaian Kita, Rangkaian Malaysia (RKRM)’ pada Rabu.

Beliau berkata, 5G akan menjadi sebahagian daripada kempen RKRM yang akan memperkasakan rakyat Malaysia dan perniagaan di seluruh negara untuk dihubungkan dalam pebagai cara, pada setiap masa.

“Pelaksanaan 5G ialah satu lagi teknologi baharu sejak 25 tahun lepas. Ia pasti akan menjadi sebahagian daripada program RKRM kami dan ia memuji keseluruhan rangkaian komprehensif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Loh Keh Jiat berkata, sebelum akhir tahun ini, Maxis akan mengadakan perkongsian dengan syarikat lain untuk menyediakan lebih banyak hiburan melalui penstriman langsung kepada pengguna.

“Kami akan terus meneroka dengan rakan kongsi kami untuk membawa lebih banyak kandungan dan perkhidmatan digital yang berkaitan kepada pengguna kami,” katanya. – Bernama



Sumber