MATTA Fair kembali meriahkan WTCKL

MATTA Fair kembali meriahkan WTCKL

PAMERAN Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 2 hingga 4 September ini akan menjadi penanda aras bahawa industri pelancongan negara kembali pulih.

Pengerusi MATTA, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah berkata, dengan penglibatan 125 peserta pada MATTA Fair kali ini, pihaknya yakin ia mampu menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Menurutnya, selama lebih dua tahun industri pelancongan suram akibat pandemik Covid-19, penganjuran MATTA bakal melonjakkan semula operasi perniagaan pelancongan.

“Pameran pelancongan kali ini menumpukan kepada pelancongan domestik berbanding pameran sebelum ini yang banyak menawarkan pakej pelancongan antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MATTA, Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif Korporat dan Pembangunan Perniagaan Merchantrade, Ivan Alias.

Beliau berkata, Merchantrade kembali sebagai rakan pengurup wang rasmi MATTA Fair buat kali ke-7

“Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) ialah syarikat fintech terkemuka, pengendali perniagaan perkhidmatan wang terbesar di Malaysia dan penerbit e-Money yang sedang berkembang pesat,” katanya

Sementara itu, Pengurus Eksekutif MATTA, Maziah Mihat berkata, penganjuran MATTA Fair tepat pada masanya dengan kebangkitan semula aktiviti pelancongan di seluruh dunia.

“Keadaan ini membuka peluang kepada pengembara dan pelancong Malaysia untuk mendapatkan tawaran pelancongan terbaik.

“Sasaran kami untuk menjadi sebahagian daripada fasa perancangan dengan menawarkan kadar pertukaran wang yang pantas dan cepat menerusi kad Merchantrade Money,” katanya.

Ujarnya lagi, kad Merchantrade Money memudahkan pengembara untuk melakukan segala transaksi kewangan secara digital.

“Pengembara boleh membeli, menyimpan dan menjual sehingga 20 mata wang di dalam aplikasi, melakukan pemindahan wang dalam talian, pemindahan wang dari kad ke kad, menyemak baki dan tambah nilai prabayar talian mudah alih (domestik dan antarabangsa),” katanya.

Selain itu Maziah berkata, ia membolehkan pengembara membeli insurans mikro, menukar tetapan kad untuk keselamatan tambahan dan menjejak perbelanjaan mereka (melalui e-penyata) dengan menggunakan aplikasi mudah alih Merchantrade Money.

“Kad Visa ini membolehkan pengembara membuat pembayaran tanpa tunai atau mengeluarkan wang dari mana-mana mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh dunia,” katanya.

Sumber