Masalah anak cetus inspirasi bisnes

Masalah anak cetus inspirasi bisnes

MINAT yang mendalam terhadap kesihatan tubuh manusia, terutamanya prestasi otak telah memberikan inspirasi kepada Pengarah Eksekutif Brain Story Sdn Bhd (Brain Story), Dr Rizal Abu Bakar untuk menceburi bidang perniagaan produk makanan berasaskan kesihatan sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, perniagaannya yang memfokuskan penghasilan produk minuman berasaskan koko berjenama Coco OCOC pada tahun 2018 telah itu mencatatkan pelbagai kejayaan.

“Saya tidak menyangka produk ini mendapat sambutan yang memberangsangkan meskipun mempunyai pelbagai produk segmen yang sama dalam pasaran.

“Penghasilan produk ini adalah kajian yang saya laksanakan ketika berpeluang melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di Australian National University,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Bercerita mengenai detik permulaan perniagaannya itu, doktor berusia 49 tahun itu berkata, idea berkenaan tercetus ketika dua anaknya berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan di Malaysia berikutan mereka dibesarkan di Australia.

“Ketika kami pulang ke Malaysia pada 2012, anak pertama saya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala anak yang kedua pula menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Ia merupakan tekanan yang hebat kepada kami sekeluarga kerana kedua-dua anak kami berdepan cabaran menjalani persekitaran baharu. Anak kedua saya, Haikal yang menduduki UPSR hanya mempunyai masa dalam tempoh dua bulan untuk menguasai mata pelajaran, sekali gus menyesuaikan diri dengan budaya di Malaysia,” katanya.

Dr Rizal bersama kakitangan Brain Story di pejabat mereka di Bandar Baru Bangi, Bangi Selangor. - Foto: Izari Rosli

Dr Rizal bersama kakitangan Brain Story di pejabat mereka di Bandar Baru Bangi, Bangi Selangor. – Foto: Izari Rosli

Justeru, beliau mengambil pendekatan menggunakan pengalaman ketika berada di luar negara dengan menggunapakai kajian dilakukan untuk menghasilkan produk bagi membantu kedua-dua anaknya itu, terutamanya Haikal dengan menggunakan formulasi sendiri.

Dr Rizal bersyukur kedua-dua anaknya yang mengambil produk itu menunjukkan prestasi dan perkembangan yang positif, malah mereka turut mencatatkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, kejayaan anak-anaknya itu menyebabkan rakan-rakannya memberikan dorongan kepadanya untuk menghasilkan dan memasarkan produk tersebut.

Dr Rizal yang memulakan perniagaan berkenaan pada 2018 menggunakan modal sebanyak RM20,000.

Dengan menjalani pembangunan dan penyelidikan di Australia, beliau telah menggabungkan empat bahan utama seperti 70 peratus dark chocolate, susu kambing, gingko biloba dan gula kelapa, sekali gus mengkomersialkannya.

Dr Rizal berkata, selain anak-anaknya yang menggunakan produk berkenaan selama empat tahun, Coco OCOC juga diuji oleh UNIPEX Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Coco OCOC mempunyai enam rangkaian produk seperti minuman Coco OCOC yang didatangkan dalam varian berbeza iaitu untuk kanak-kanak berumur 7 tahun dan ke atas serta 3 hingga 6 tahun, OCOC gula kelapa, Vegan OCOC dan sanitasi tangan.

“Jualan produk ini mendapat sambutan yang memberangsangkan sehingga mencecah ke angka antara RM200,000 hingga RM350,000 sebulan yang mana 80 peratus daripada jumlah tersebut disumbangkan oleh minuman koko OCOC,” katanya.

Katanya, produk Brain Story boleh didapati di seluruh negara, Brunei dan Singapura kerana dijual secara dalam talian dan melalui 560 ejen OCOC.

Dr Rizal berkata, syarikat yang beroperasi di Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor itu juga akan mengeluarkan tiga produk baharu dalam rangkaian sama iaitu MCT Oil dan minuman Roselle yang kini masih dalam pembangunan dan penyelidikan.

“Kami mempelawa orang ramai yang berminat untuk menjadi ejen. Mereka hanya perlu membayar serendah RM750 manakala untuk menjadi dropship perlu membayar RM68 sahaja.

“Kami mengalu-alukan kepada mereka yang ingin menambahkan pendapatan untuk bersama kami,” katanya.

Jelasnya, ada antara ejen mereka mencatatkan jualan lima angka sebulan dan mereka yang berjaya mencatatkan jualan tertinggi akan diberikan hadiah lumayan.



Sumber