Malaysia pilihan tepat – Sinar Harian

Malaysia pilihan tepat – Sinar Harian

Karina (empat dari kanan) bersama anak-anak yatim yang hadir pada Majlis Wardah Ramadan Akbar yang diadakan di sini, pada Rabu.

Karina (empat dari kanan) bersama anak-anak yatim yang hadir pada Majlis Wardah Ramadan Akbar yang diadakan di sini, pada Rabu.

PENERAJU jenama kecantikan yang berasal dari Indonesia, Wardah Beauty (Wardah) optimis pemilihan Malaysia untuk memasarkan lebih 100 rangkaian produknya adalah pilihan tepat sekali gus menjadi pendorong untuk menembusi pasaran beberapa negara di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pemasaran Antarabangsa Paragon Corp, Karina Anindita berkata, pertumbuhan perniagaan Wardah mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun dalam pasaran Malaysia sejak jenama itu berada di negara ini beberapa tahun lepas.

Menurutnya, pencapaian itu disokong oleh jualan produk Wardah dengan harga yang berpatutan secara dalam talian (online) dan berada di beberapa rangkaian farmasi terkemuka di negara ini.

“Wardah menyasarkan untuk terus kukuh dalam pasaran di negara ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan beberapa pelan pengembangan. Antara pelannya adalah mengukuhkan lagi segmen perniagaan dan rangkaian produk di negara ini.

“Wardah juga merancang untuk melancarkan kempen dengan berkolaborasi dengan beberapa rakan strategik. Kempen itu sebagai usaha kami untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kewujudan produk Wardah terutamanya penggunaannya dan penjagaan kecantikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Wardah Ramadan Akbar yang diadakan di sini, pada Rabu.

Karina berkata, Wardah juga merancang untuk meluaskan pasarannya secara rasmi di Brunei dan Singapura dalam masa terdekat.

“Kami juga menjangkakan akan melancarkan beberapa produk baharu pada Jun atau Julai depan. Pada masa yang sama kami juga akan terus mempromosikan produk Wardah yang sedia ada,” katanya.

Mengulas mengenai Majlis Wardah Ramadan Akbar, Karina berkata, program itu diadakan buat julung kalinya di Malaysia dan secara langsung di 22 bandar di Indonesia untuk berkongsi mengenai Bersama Lebih Bermakna.

“Kami mahu berkongsi memberikan kebaikan dan menyebarkan manfaat bersama. Jika ia dilakukan secara bersama, impaknya lebih besar.

“Selain berbuka puasa bersama, penganjuran program ini disertai dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat kepada mereka yang hadir. Antara program yang diadakan ialah sesi perkongsian oleh selebriti Malaysia, Dayah Bakar dan Qasrina Karim serta Pengasas Empower Quran Global, Fatin Nabilah,” katanya.

Pada majlis sama, Wardah turut meraikan anak yatim dengan memberikan duit raya dan memberikan sumbangan khas kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim (Persendirian) yang berdaftar dengan Yayasan Islam Darul Ehsan sebanyak RM10,000.

Sumber