Malaysia perlu bersedia teknologi pengkomputeran kuantum tahun ini

Malaysia perlu bersedia teknologi pengkomputeran kuantum tahun ini

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan lompatan kuantum dalam teknologi pengkomputeran untuk membantu menyelesaikan masalah yang sukar dan membolehkan perniagaan memperoleh kelebihan yang kompetitif, kata International Business Machines Corp (IBM) Malaysia.

Negara perlu sentiasa bersedia dalam menerima pakai teknologi pengkomputeran kuantum tahun ini kerana ia memiliki peluang yang luar biasa serta memberi manfaat kepada setiap bahagian ekonomi, kata Ketua Negara dan Teknologi IBM, Catherine Lian.

Menurut laman web IBM, pengkomputeran kuantum adalah kepesatan teknologi yang berbeza dari komputer tradisional.

“Adalah penting untuk bertindak sekarang dalam bidang yang sedang berkembang ini seperti perkhidmatan kewangan, pengedaran tenaga dan perubahan iklim, untuk ke arah meningkatkan pengalaman pelanggan.

“Kuasa pengkomputeran kuantum yang memberi impak kepada hampir setiap aspek masyarakat bermakna bahawa pelaburan yang luas dalam tenaga kerja negara adalah penting.” katanya.

Dalam laporan ‘Dekad Kuantum’ firma itu, IBM menganggarkan terdapat hanya kira-kira 3,000 pekerja kuantum mahir di pasaran ketika ini.

“Asas ini perlu ditingkatkan dua kali ganda atau empat kali untuk mengeksploitasi potensi penuh pengkomputeran kuantum dalam dekad ini bagi memastikan perniagaan tidak tertinggal,” katanya.

IBM Quantum telah terlibat dengan lebih daripada 380,000 pengguna berdaftar yang sedang memakai lebih daripada 20 sistem pengkomputeran kuantum terbuka dan premiumnya di atas awan termasuk mereka yang menggunakan kit pembangunan perisian kuantum sumber terbuka yang dipanggil Qiskit.

Catherine berkata, pertumbuhan serantau dalam penggunaan pengkomputeran awan adalah sangat besar kerana kosnya kurang, ditambah dengan kesedaran tentang keselamatan data serta teknologi yang mendasarinya.

Menurutnya, berdasarkan kajian IBM CEO 2021, 60 peratus ketua pegawai eksekutif (CEO) yang ditinjau di Malaysia yakin teknologi awan akan menjadi penggerak utama ketangkasan dan 39 peratus mengiktiraf bahawa kecerdasan buatan (AI) adalah salah satu teknologi teratas yang akan memberi manfaat kepada mereka.

“Di IBM, kami telah menyaksikan lonjakan dalam penggunaan awan di Malaysia memandangkan perniagaan sudah mula memanfaatkan kemampuan awan untuk kekal berdaya saing.

“Yang paling menarik, responden Malaysia daripada tinjauan Platform Awan Hybrid IBM berkata 19 peratus perbelanjaan IT mereka diperuntukkan kepada awan dan mereka merancang meningkatkan bahagian perbelanjaan ke atas awan hibrid daripada 36 peratus kepada 46 peratus menjelang 2023,” ujarnya.

Tinjauan ini mencerminkan awan hibrid adalah pemboleh asas model operasi organisasi dan membolehkan perniagaan melaksanakan kelancaran proses, meningkatkan prestasi dengan pulangan yang lebih tinggi

Catherine berkata, IBM telah bekerjasama dengan MADX Panel, salah satu syarikat penyelesaian perisian fintech yang terkemuka di Malaysia bagi melaksanakan penyelesaian awan IBM untuk memperbaiki perkhidmatan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara ini.

“PMKS perlu melibatkan diri dengan rakan-rakan teknologi yang boleh memberi mereka akses kepada teknologi yang berkaitan dan yang dapat membantu mereka menangani semua keperluan ini melalui proses yang mantap, amalan dan alat pengurusan yang sesuai,” tambahnya. – Bernama.

Sumber