Malaysia perkukuh dagangan pertanian dengan Pakistan

Malaysia perkukuh dagangan pertanian dengan Pakistan

KUALA LUMPUR – Malaysia mahu mengukuhkan lagi hubungan dagangan komoditi pertanian dengan Pakistan selain berbincang mengenai cara bagi meningkatkan bahagian pasaran agrikomoditi di negara tersebut.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui kenyataan pada Khamis memaklumkan, perkara tersebut dinyatakan menerusi lawatan kerja selama tiga hari oleh Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin ke Pakistan pada 30 Mac hingga 1 April 2022.

Kementerian itu berkata, delegasi Malaysia turut mempromosi komoditi pertanian utama negara seperti minyak sawit, getah, kayu-kayan, lada, koko serta kenaf.

“Zuraida telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Abdul Razak Dawood iaitu Penasihat Perdana Menteri bagi Perdagangan dan Pelaburan serta Ayub Afridi selaku Penasihat Perdana Menteri bagi hal ehwal Warga Pakistan di Luar Negara dan Pembangunan Modal Insan.

“Selain perbincangan mengenai usaha meningkatkan bahagian pasaran agrikomoditi Malaysia di Pakistan, perkara lain turut disentuh ialah kemungkinan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan bagi sektor agrikomoditi serta kemungkinan mengambil khidmat pekerja Pakistan bagi ladang kelapa sawit,” katanya.

Menurut KPPK, Zuraida turut mengadakan sesi meja bulat khas dengan Dewan Perniagaan Islamabad dan Rawalpindi bagi berkongsi maklumat terkini mengenai komoditi Malaysia untuk makluman pemain industri.

Pada masa sama, ahli dewan perniagaan itu turut dipelawa untuk menjalin lebih banyak usaha niaga dan kerjasama dengan Malaysia, khususnya dalam pembangunan produk-produk hiliran seperti industri oleokimia, galas seismik getah asli, jalan raya campuran getah, pintu kayu dan coklat premium.

“Mereka juga dipelawa untuk menyertai acara Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) pada 26-28 Julai, 2022 di Kuala Lumpur.”

Pakistan merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia dalam sektor agrikomoditi dan Kuala Lumpur juga mempunyai beberapa projek usaha sama, terutama dalam industri minyak sawit di Pelabuhan Qasim.

Islamabad juga berperanan sebagai rakan dagang dan strategik untuk produk agrikomoditi Malaysia dengan nilai eksport berjumlah RM3.31 bilion pada 2021.

Eksport agrikomoditi utama Malaysia ke Pakistan adalah minyak sawit (RM2.92 bilion), getah (RM253.90 juta) dan produk kayu-kayan (RM82.44 juta). – Bernama

Sumber