Malaysia mampu harungi badai, kata Gabenor BNM

Malaysia mampu harungi badai, kata Gabenor BNM

PELBAGAI langkah yang diumumkan baru-baru ini yang menyokong pelbagai pendekatan Malaysia akan membantu negara bertahan dan pulih daripada impak ekonomi akibat daripada penularan pandemik Covid-19, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Yunus.

Menurutnya, dasar monetari, kewangan, fiskal dan struktur yang saling melengkapi adalah kunci bagi memastikan tindak balas dasar adalah komprehensif dan diselaras dengan berkesan.

“Ekonomi Malaysia berjayaa pulih dengan pantas daripada krisis-krisis lepas sebahagiannya disebabkan oleh dasar-dasar ini dilaksanakan secara kolektif pada waktu yang tepat,” katanya dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 (EMR) yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.

Dalam laporan tersebut, Nor Shamsiah berkata, krisis kesihatan global disebabkan oleh Covid-19 telah menyebabkan aktiviti ekonomi di banyak negara di dunia ini jatuh secara mendadak dan prospek pertumbuhan bagi ekonomi pasaran maju dan sedang pesat membangun merosot.

Ini seterusnya membawa kepada kegawatan dalam pasaran kewangan global, yang diburukkan lagi dengan ketidaktentuan dalam pasaran minyak dunia.

Malaysia turut merasai tempiasnya.

Katanya, meskipun pihak berkuasa relevan dan pasukan barisan hadapan melakukan sedaya upaya mereka untuk membendung penularan wabak itu, kesan ekonomi telahpun mula dirasai oleh isi rumah dan juga perniagaan.

“Penularan pandemik itu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendungnya akan membawa kerugian ouput yang besar kepada ekonomi Malaysia pada 2020.

“Intervensi dasar untuk menyokong individu, isi rumah dan perniagaan diperlukan untuk mencegah apa yang sepatutnya gangguan ekonomi sementara daripada menjadi kekal,” katanya.

Di Malaysia, selain Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang bernilai RM250 bilion, BNM, sektor perbankan dan kewangan serta kerajaan negeri turut melaksanakan langkah-langkah dalam bidang kuasa masing-masing.

Sebagai contoh, BNM mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Januari dan Mac tahun ini sebanyak 50 mata asas.

Selain itu nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) diturunkan sebanyak 100 mata asas dengan elaun yang disediakan bagi sekuriti Kerajaan diambil kira bagi pematuhan SRR.

Beliau berkata, langkah-langkah rangsangan kerajaan dan penurunan kadar dasar ditambah dengan kemajuan berterusan projek awam dan perbelanjaan sektor awam yang tinggi akan menyokong pertumbuhan.

“Pada masa depan, penting untuk mengekalkan kewajaran perspektif. Walaupun keadaan kita ketika ini agak getir, ekonomi Malaysia mengekalkan tahap daya tahannya.

“Sumber pertumbuhan kita yang pelbagai dan struktur perdagangan luaran membantu mengurangkan impak ekonomi daripada perkembangan domestik dan luaran,” katanya.

Menurut Nor Shamsiah, lebihan berterusan dalam akaun semasa, tahap rizab antarabangsa yang mencukupi dan kadar pertukaran yang fleksibel juga memberikan penampan kepada kejutan luaran.

“Sektor kewangan kekal menjadi sumber kekuatan memberikan jaminan perantaraan kewangan akan kekal berjalan lancar tanpa gangguan,” jelasnya.- Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *