Malaysia dijangka capai ekonomi 6.0 peratus tahun ini: Moody’s

Malaysia dijangka capai ekonomi 6.0 peratus tahun ini: Moody’s

EKONOMI Malaysia dijangka berkembang sebanyak 6.0 peratus tahun ini selepas didorong oleh pembukaan sempadan antarabangsa, peningkatan kadar vaksinasi dan peralihan negara ke arah fasa peralihan endemik.

Penolong Naib Presiden/Penganalisis Moody’s Investors Nishad Majmudar berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa akan memacu sektor perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan.

“(Berhubung dengan peralihan ke dalam fasa endemik), kami menjangkakan bahawa ia akan menyokong aktiviti ekonomi yang lebih besar termasuk perbelanjaan swasta di negara ini. Satu lagi faktor ialah kami meramalkan pertumbuhan yang lebih lemah dalam pasaran eksport utama seperti Kesatuan Eropah, yang menyumbang kira-kira 10 peratus daripada eksport.

“Bagaimanapun, Malaysia yang memiliki kemampuan eksport yang pelbagai seperti elektronik termasuk minyak dan gas akan berada dalam kitaran yang cukup mantap, tambahan pula, harga barangan ini sedang meningkat,” katanya kepada pemberita semasa sidang meja bulat maya Moody’s yang bertajuk “Inside ASEAN: Malaysia” pada Rabu.

Beliau menjelaskan bagaimanapun terdapat beberapa risiko penurunan seperti konflik Ukraine-Rusia serta potensi lonjakan inflasi yang akan menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan respons yang lebih cepat berkaitan normalisasi kadar dasar.

“Konflik Ukraine-Rusia adalah risiko penurunan terbesar untuk pertumbuhan. Malah, kami mengunjurkan beberapa ekonomi G20 di Eropah dan Asia Pasifik akan mengalami kejatuhan,” kata Nishad, sambil menambah BNM dijangka akan menaikkan kadar asasnya pada separuh pertama 2022.

Satu lagi pusingan penutupan sempadan selepas timbul ancaman varian baharu akan menjadi antara risiko yang berpotensi tetapi kerajaan Malaysia telah nekad untuk memastikan ekonomi terbuka dan merawat Covid-19 sebagai endemik.

Selain itu, persekitaran politik yang tidak menentu akan menjejaskan kredibiliti serta keberkesanan institusi di Malaysia selain mengancam kestabilan aliran modal dan pelaburan, yang boleh menjadi risiko penurunan yang lain bagi Malaysia, katanya.

“Dalam penilaian kami sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa riuh-rendah politik yang kami dengar, dalam pandangan kami, tidak mempengaruhi fungsi institusi ekonomi utama seperti Kementerian Kewangan, Bank Negara dan pengawal selia sekuriti.

“Bagaimanapun, ketidakpastian di sekitar tarikh pilihan raya dan majoriti yang agak tipis di Parlimen, kami fikir telah menghalang proses pembaharuan fiskal secara ketara dan menjadikannya sukar bagi mana-mana kerajaan yang dipilih, sejak tiga tahun ini memberi tumpuan ke atas sesetengah daripada pembaharuan,” kata Nishad.

Beliau menambah jika pilihan raya umum berlaku dalam tempoh terdekat, ia berpotensi membawa kepada persekitaran politik yang lebih tidak menentu dan menambah keriuhan cakap-cakap politik tetapi ia tetap tidak akan menjejaskan fungsi institusi utama secara keseluruhan.

Sementara itu, Moody’s menjangkakan harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 (AS$1 = RM4.21) setong pada tahun ini.

Agensi penarafan itu meramalkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk menambah peruntukan perbelanjaan modal pada tahun ini, yang akan memberi manfaat kepada eksplorasi serta kontraktor pengeluaran dan syarikat perkhidmatan minyak, kata penganalisisnya, Hui Ting Sim.

“Daripada segi keuntungan, saya fikir ianya agak positif memandangkan akan ada lebih banyak perniagaan untuk peneraju dalam industri perkhidmatan minyak. Unjuran bagi pendapatan dan aliran tunai mungkin agak kurang baik selepas banyak syarikat terpaksa menanggung kos operasi yang lebih tinggi tahun ini disebabkan tekanan inflasi yang membawa kepada peningkatan kos utiliti, peralatan dan buruh.

“Keuntungan syarikat-syarikat ini akan bergantung kepada keupayaan mereka untuk membenamkan peningkatan kos kepada pengeluar minyak dan gas,” katanya.- Bernama

Sumber