Malaysia catat KDNK lebih kukuh pada suku kedua 2019

Malaysia catat KDNK lebih kukuh pada suku kedua 2019

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang 4.9 peratus pada suku kedua 2019 daripada 4.5 peratus pada suku pertama, disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta lebih tinggi.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan permintaan domestik meningkat 4.6 peratus manakala penggunaan swasta berkembang 7.8 peratus.

“Pertumbuhan Malaysia terus meningkat disebalik cabaran global, disokong pemulihan daripada gangguan bekalan komoditi dan prestasi lebih baik dalam sektor pembuatan dan pembinaan,” katanya pada sidang media mengenai prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2019.

Dari segi bekalan, sektor perlombongan meningkat semula, dipacu terutamanya oleh pemulihan dalam pengeluaran gas asli manakala pertumbuhan lebih baik dalam sektor pembuatan disokong oleh prestasi lebih baik dalam industri berorientasikan domestik.

Bagi suku itu, inflasi keseluruhan secara puratanya adalah lebih tinggi pada 0.6 peratus (-0.3 peratus pada Q1), terutamanya mencerminkan luputnya kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar yang dilaksanakan pada Jun 2018.

Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kesan daripada perubahan dasar cukai penggunaan adalah tidak berubah pada 1.6 peratus.

Untuk masa depan, beliau berkata, KDNK Malaysia dijangka berkembang antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus pada 2019, disokong oleh aktiviti sektor swasta.

Bagaimanapun, sektor luaran dijangka terus menerima kesan daripada pertumbuhan global yang perlahan berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berlarutan.

Pertikaian perdagangan ketika ini dijangka memberi kesan terhadap pertumbuhan asas eksport kasar negara pada 2019 sebanyak -0.5 hingga -0.8 mata peratusan (ppt).

Lagipun, kesan daripada aktiviti perdagangan lebih rendah turut diburukkan oleh peningkatan ketidaktentuan perdagangan dan sekiranya pertikaian perdagangan semakin memuncak, ini berpotensi mengurangkan pertumbuhan eksport Malaysia kepada tambahan -0.2 ppt dan pertumbuhan KDNK dianggarkan -0.1 ppt pada 2019.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata dua kemungkinan untuk KDNK Malaysia meningkat adalah keputusan positif daripada rundingan perdagangan antara dua gergasi ekonomi berkenaan, dan inflasi lebih rendah daripada jangkaan meningkatkan aktiviti penggunaan swasta. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *