Malaysia Airlines, Firefly lanjutkan tawaran Matta Fair 2022 dalam talian

Malaysia Airlines, Firefly lanjutkan tawaran Matta Fair 2022 dalam talian

KUALA LUMPUR: -Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Firefly Sdn Bhd akan melanjutkan tawaran MATTA Fair 2022 mereka secara dalam talian dan melalui aplikasi mudah alih yang menawarkan penjimatan besar ke atas tambang penerbangan dan faedah nilai untuk wang yang lain untuk perjalanan sepanjang tahun.

Menurut MAB dalam kenyataan, mulai 8 April hingga 17 April, syarikat penerbangan nasional itu menawarkan diskaun sehingga 45 peratus untuk penerbangan ke semua destinasi domestik dan antarabangsa terpilih untuk perjalanan segera sehingga 30 Nov 2022.

Perjalanan domestik dari serendah RM79 untuk perjalanan sehala semua dalam satu di Semenanjung Malaysia melalui Kelas Ekonomi syarikat penerbangan itu, dengan elaun bagasi kabin sebanyak 7kg, snek atau makanan dan minuman percuma.

Malaysia Airlines menawarkan tawaran perjalanan antarabangsa dari serendah RM596 untuk perjalanan pergi balik semua dalam satu ke lebih 20 destinasi termasuk London, Sydney, Perth, Seoul, Mumbai, Delhi, Hyderabad, Chennai dan banyak lagi.

Selain daripada tawaran menarik ini, pelanggan yang membeli tiket Kelas Ekonomi daripada laman web Malaysia Airlines sepanjang tempoh kempen ini berpeluang menikmati naik taraf ke Kelas Perniagaan.

Selain itu, syarikat penerbangan sekutunya, Firefly, turut memberikan tawaran di aplikasi mudah alih/laman web mulai hari ini hingga 10 April, 2022, dengan tawaran diskaun tiket sehingga 50 peratus ke semua destinasi dalam rangkaiannya, untuk perjalanan bermula 14 April hingga 29 Okt, 2022.

Ini termasuk laluan baharu yang dinanti-nantikan dari Hab Pulau Pinangnya, yang akan beroperasi pada 11 April, 2022, termasuk penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Kami telah menerima maklum balas positif daripada pelanggan di seluruh dunia berikutan pembukaan semula sempadan negara dan gembira untuk mengalu-alukan mereka kembali merasai budaya, warisan, tradisi dan alam semula jadi Malaysia serta sudah tentu pelbagai tawaran masakan yang enak sekali lagi!,” kata Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines Lau Yin May.

Tempoh kempen itu juga akan menyaksikan diskaun sehingga 50 peratus untuk penerbangan dan pakej hotel, bermula daripada RM219 untuk penginapan tiga hari dua malam di dalam negara atau luar negara bermula daripada RM979 untuk penginapan minimum tiga malam ke destinasi seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan Australia.

Pelanggan yang menempah melalui cabang operasi pelancongannya, MHholidays boleh mendapat faedah daripada nilai elaun bagasi 35kg, makanan dalam pesawat dan pemilihan tempat duduk percuma, antara lainnya.

Ia menawarkan diskaun sehingga 25 peratus ke atas pilihan tempat duduk, bagasi tambahan dan tawaran pakej nilai untuk masa terhad sahaja manakala ahli Enrich akan mendapat 10 peratus Bonus Enrich Points untuk semua kelas tambang ke semua destinasi yang layak semasa tempoh promosi. -Bernama

Sumber