Malaysia Airlines buat penstrukturan, penyusunan semula

Malaysia Airlines buat penstrukturan, penyusunan semula

MALAYSIA Airlines Bhd (Malaysia Airlines) melaksanakan penstrukturan dan penyusunan semula operasi dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan mengkaji Rancangan Perniagaan Jangka Panjang (LTPB).

Malaysia Airlines menjelaskan, ia dilaksanakan bagi memastikan kesesuaian dan kelangsungan kumpulan yang terkesan oleh penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pihaknya sudah menghubungi pemberi pinjaman, pemiutang dan pembekal utama mereka ketika memulakan penyusunan semula.

“Pelan berkenaan memerlukan penyusunan semula perniagaan dan struktur modal Malaysia Aviation Group (MAG) bergantung kepada sumbangan individu dan semua pihak berkepentingan yang relevan bagi menyokong kumpulan agar dapat keluar daripada krisis sebagai kumpulan penerbangan yang mantap dari segi permodalan dan kewangan.

“Proses penyusunan semula dijangka selesai dalam beberapa bulan lagi. Jika hasilnya gagal dicapai, kumpulan tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan langkah lebih drastik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Malaysia Airlines, sebelum ini, ketika ia dan syarikat sekutunya di bawah MAG melancarkan LTBP) pada tahun 2019, kumpulan itu mencatatkan perolehan bersih keseluruhan sebelum cukai (NIAT) yang lebih baik berbanding 2018 iaitu 18 peratus lebih awal daripada sasaran sementara pendapatannya meningkat tujuh peratus tahun ke tahun.

“Peningkatan prestasi ini dicatatkan dalam situasi harga bahan bakar lebih tinggi, kenaikan tukaran asing dan kesan MFRS16,” katanya.

Selain itu, Malaysia Airlines berkata, pendapatan bagi setiap tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (RASK) meningkat sebanyak tiga peratus, pulangan bertambah sebanyak lima peratus disokong kenaikan lima peratus tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK) tahun ke tahun.

“Syarikat juga mencapai keputusan RASK yang tinggi pada separuh kedua tahun 2019 dan ia merekodkan keputusan berkenaan adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 3 tahun,” katanya.

Katanya, Malaysia Airlines/MAG dijangka meneruskan momentum yang baik pada tahun ini, namun pandemik koronavirus (Covid-19) mencetuskan sekatan pergerakan di seluruh dunia, memaksa semua syarikat penerbangan menghentikan operasi dan angkatan pesawat bagi hampir keseluruhan Mac hingga Jun lalu.

“Ketika kemuncak krisis Covid-19, MAG terus berkhidmat untuk negara dan pelanggan dengan mengekalkan sebahagian sambungan domestik dan sambungan antarabangsa secara minimum, kebanyakannya bagi melancarkan pergerakan penting, penerbangan menyelamat serta memastikan rantaian bekalan global dikekalkan menerusi operasi kargo kami,” katanya.

Bagaimanapun, Malaysia Airlines berkata, impak kewangan negatif daripada krisis Covid-19 adalah sesuatu yang tidak pernah dilalui sebelum ini, oleh itu, MAG tidak mengambil masa lama untuk mengambil langkah sukar sejak Mac lalu bagi mengurangkan kos serta melindungi tunai.

Malaysia Airlines berkata, ini termasuk melaksanakan pemotongan gaji untuk seluruh pasukan pengurusan dan juruterbang, termasuk memperkenalkan cuti tanpa gaji, menangguhkan pembayaran, rundingan semula kontrak dan lain-lain dalam usaha mengekalkan kelangsungan serta melindungi sebanyak pekerjaan yang mungkin.

“Kesan mendalam krisis Covid-19 yang berpanjangan ini memerlukan MAG mengambil langkah drastik untuk menyemak lanjut LTBP bagi menjamin kelangsungan dan kerelevanan kumpulan.

“Ini termasuk menyusun semula rangkaian dan pelan angkatan pesawat, bukan hanya bagi membolehkannya berdepan landskap penerbangan yang tidak menentu, malah permintaan trafik lebih perlahan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Adil

Malaysia Airlines berkata, sebagai penggerak ekonomi negara, MAG sedar bahawa apa-apa tindakan yang diambil oleh kumpulan akan memberi kesan yang lebih besar kepada industri penerbangan dan negara.

“Oleh itu, Malaysia Airlines komited untuk memastikan bahawa pelaksanaan penstrukturannya dilaksanakan dengan cara yang adil melalui segala bentuk mekanisma yang sesuai,” katanya.

Sebelum ini, pada Mac lalu, MAG syarikat induk Malaysia Airlines dalam satu kenyataannya memaklumkan menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuat kuasa April.

Tawaran tersebut dibuka kepada semua kakitangan syarikat penerbangan itu di mana mereka perlu mengambil tiga bulan cuti tanpa gaji atau lima hari cuti tanpa gaji setiap bulan, sekurang-kurangnya selama tiga bulan bermula April.

Tawaran program cuti tanpa gaji sukarela itu juga diperluaskan kepada semua kakitangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) seperti MAB Kargo, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering, Firefly dan MASwings.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail memaklumkan, pihaknya akan mengurangkan 10 peratus daripada gaji pengurusan kanannya serta mengurangkan elaun mereka.

Selain Malaysia Airlines, MAG adalah syarikat induk kepada Firefly; MASwings; MAB Kargo; AeroDarat Services Sdn Bhd; MAB Academy; perkhidmatan catar penerbangan umrah dan haji, Amal; perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.



Sumber