Malaikat ‘payungi’ mereka yang hadir ke majlis ilmu

Malaikat ‘payungi’ mereka yang hadir ke majlis ilmu

“TAK sempatlah nak pergi majlis ilmu. Balik kerja pun dah lewat malam. Tak apalah, telefonkan ada. Buka saja telefon dan baca, bukan susah pun.”

Itulah ayat yang sering terpacul dalam kalangan kita terutama generasi muda apabila diajak menghadiri ke majlis ilmu.

Bukan mahu membuat kesimpulan mudah, namun hakikatnya memang amat jarang kita melihat kelibat anak muda tampil memenuhi ruangan dalam majlis sebegitu.

Kebanyakan yang memenuhi majlis-majlis tersebut terdiri daripada orang yang sudah berusia. Barangkali mereka mempunyai lebih banyak masa terluang.

Meskipun capaian informasi hanya di hujung jari sahaja, namun, ketahuilah bahawa menghadiri majlis ilmu ialah tempat yang paling mulia di sisi Islam. Sesiapa yang menghadirinya, ALLAH SWT menjanjikan banyak ganjaran kepada kita.

Sesungguhnya jika seseorang manusia tahu apakah imbalan yang bakal diperoleh, pasti ramai yang sanggup untuk meninggalkan apa sahaja yang dilakukan demi menghadirikan dalam majlis ilmu.

Apakah balasan baik yang dimaksudkan? Mengala umat Islam sangat dituntut supaya sentiasa menimba ilmu? Hanya di masjid atau surau sahajakah platform ‘menjana’ pengetahuan?

Mudahkan jalan ke syurga

Bagi mendasari pertanyaan itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abd Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi.

USTAZ HANAFI

USTAZ HANAFI

Agamawan itu terlebih dahulu mengajak kita untuk memahami maksud majlis ilmu. Ujar beliau, ia merangkumi semua bentuk pembelajaran.

“Tidak kiralah di masjid, sekolah, universiti atau dewan seminar, hatta di kedai kopi sekalipun dan di mana-mana sahaja majlis ilmu boleh dianjurkan dan sesiapa antara kita digalak menuntut (ilmu), ” katanya kepada Sinar Islam menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Memang benarlah, bagi golongan yang bersungguh, betapa hebatnya perilaku itu apabila ALLAH akan memudahkan baginya satu jalan menuju ke syurga.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka ALLAH memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke syurga.” (Riwayat Muslim)

Sudah meletakkan diri pada majlis mulia itu, namun apakah hukumnya kepada mereka yang asyik tertidur secara terbuka dan tersengguk-sengguk mendengar ucapan dan tazkirah? Ujar beliau: “Mereka yang sedemikian tetap mendapat pengampunan dan rahmat daripada ALLAH. Cuma ilmu yang diberikan guru tadi mungkin dia akan rugi sebab ‘tercicir’ apa yang diajar kerana terlena.”

Dalam pada itu, Ustaz Hanafi turut menitipkan pesan supaya kita tetap menjaga adab-adab.

Perkara pertama yang paling penting untuk dititik beratkan, kita jangan sesekali lupa berniat menghadirinya kerana ALLAH SWT.

“Bersihkan hati dan fizikal, beri tumpuan dan tunjukkan minat ketika majlis ilmu sedang berlangsung. Seperkara lagi, janganlah kita berbalah dengan guru. Jika ada perkara yang tidak dipersetujui, berbahaslah dengan cara yang baik. Pada masa sama, jangan bersembang sehingga mengganggu majlis,” nasihat beliau.

Tingkatkan martabat

Bagi memperincikannya lagi, Sinar Islam mendapatkan pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz untuk mengulas mengenai topik menarik itu.

PU FAIZ

PU FAIZ

Jelas beliau, ilmu sebenarnya mengangkat martabat manusia. Ia sepertimana Nabi Adam AS yang dinaikkan martabat lantaran ilmunya yang dimilikinya.

“Seandainya tanpa ilmu, manusia itu seperti binatang ternakan kerana haiwan tadi makan dan cari makan. Namun, yang membezakan antara manusia dengan haiwan ternakan tadi ialah ilmunya. Bahkan, jika seseorang itu tiada ilmu, mereka lebih sesat daripada haiwan ternakan,” jelas beliau.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya KAMI jadikan di dalam neraka jahanam itu daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami ayat-ayat ALLAH, mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat bukti keesaan ALLAH dan mempunyai telinga, tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat. Mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A’raf, ayat 179)

Ujar PU Faiz lagi, semua ilmu sebenarnya datang daripada agama. Ia dibahagikan mengikut hukum iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Ilmu fardu ain, jelas beliau, merangkumi tiga perkara iaitu ilmu akidah, syariah dan akhlak (tauhid, fikah dan tasawuf).

Fardu kifayah pula terbahagi kepada dua iaitu fardu kifayah diniyah ukhrawiyah dan fardu kifayah duniawiyah. Ilmu agama fardu kifayah diniyah ukhrawiyah itu seperti yang kita belajar di pondok-pondok. Ia dipanggil ilmu-ilmu untuk memahami al-Quran, hadis dan kitab-kitab alim ulama terdahulu.

“Kedua, ilmu agama fardu kifayah duniawiyah seperti ilmu kejuruteraan, farmasi ataupun medik atau apa-apa sahaja yang memakmurkan dunia. Seringkali ilmu ini disalah tafsir oleh segelintir masyarakat. Mereka menganggap bahawa ia ilmu sekular. Sekular sebenarnya bukan ilmu, tetapi ia merupakan fahaman yang memisahkan agama daripada kehidupan.

“Jikalau anak kita belajar medik sebagai contoh, pesanlah kepadanya supaya belajar ilmu itu kerana ALLAH SWT iaitu hendak tunaikan fardu kifayah supaya bermanfaat untuk Islam dan orang lain, barulah dapat pahala,” jelas beliau.

Dikelilingi para malaikat

PU Faiz meneruskan perkongsian ilmunya. Beliau menyentuh tentang ganjaran menghadiri majlis ilmu.

PUJUK hati untuk sentiasa bertandang ke majlis ilmu kerana ALLAH menjanjikan keberkatan dan pahala yang melimpah-ruah.

PUJUK hati untuk sentiasa bertandang ke majlis ilmu kerana ALLAH menjanjikan keberkatan dan pahala yang melimpah-ruah.

Jelas Ketua Tanfiziyah Pertubuhan Nahdlatul Ulama Malaysia itu, walaupun orang yang menghadiri majlis ilmu tersebut tidak memegang pen atau mencatat maklumat diperolehnya, ia sebenarnya lebih baik daripada memerdekakan hamba sahaya.

Bahkan, kata PU Faiz, malaikat juga akan mengembangkan sayap kepada mereka yang duduk dalam majlis ilmu. Ia sebagai tanda reda dengan usaha yang mereka lakukan.

“Betapa ALLAH memuliakan orang yang menghadiri majlis ilmu itu apabila dipayungi malaikat.

“Apapun, betulkan niat dalam menuntut ilmu supaya tujuannya bukanlah untuk dikenali atau dibanding-bandingkan siapa yang paling alim. Lakukanlah kerana ALLAH SWT semata-mata dan semoga ia memberi manfaat kepada orang lain,” nasihat beliau mengakhiri bicara.

Waspada gali ilmu guna teknologi tanpa guru

Dalam era digital, pencarian dan penyebaran ilmu termasuk hal agama menerusi teknologi sememangnya tidak boleh dielakkan.

Tambahan pula, Islam juga mengiktiraf teknologi kerana agama suci itu perlu disebar luaskan mengikut peredaran zaman, kata Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

“Untuk menyebarkan Islam, kita kena kreatif. Pada pandangan saya, penggunaan teknologi termasuk telefon pintar boleh dimanfaatkan dalam bentuk penyebaran medium dakwah.

“Malah, pendakwah pada hari ini pun dipanggil tekno-dai’ yang perlu mengambil kesempatan untuk menggunakan teknologi dalam berdakwah. Rata-rata orang pada hari ini akses kepada telefon untuk mendapatkan maklumat dengan cepat dan pantas,” katanya ketika ditemui Sinar Islam di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Begitu pun, jelas Ustazah Sharifah Fadylawaty, kita perlu berwaspada dengan penyebaran ilmu melalui teknologi kerana dikhuatiri berlaku lambakan ilmu.

“Bahkan, tanpa guru, kita tidak dibimbing dengan maklumat yang betul atau salah. Kita serap semuanya, itulah bahayanya,” jelas beliau.

Walau apa sekalipun, medium digunakan untuk menuntut ilmu itu, jelas ahli akademik berkenaan, paling signifikan adalah nawaitu dan keikhlasan kita berbuat demikian.

“Dari segi ganjaran pahala menuntut ilmu sama ada di masjid, kelas atau menerusi teknologi, ia bergantung kepada dua faktor tadi iaitu niat dan keikhlasan.

“Namun, berapa pun pahala yang ALLAH SWT hendak berikan, pasti di situ ada ganjaran atas usaha yang kita lakukan untuk menuntut ilmu,” jelas beliau.

Ia selari dengan firman ALLAH SWT: “Supaya ALLAH meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *