Mahsuri Food kembangkan jenama

Mahsuri Food kembangkan jenama

MAHSURI Food Sdn Bhd menyokong inisiatif kerajaan Selangor untuk mengembangkan perniagaan industri makanan halal melalui penganjuran Ekpo Industri Halal Selangor (Selhac).

Ketua Komersial Mahsuri Food Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, pihaknya sedang giat mencari peluang perniagaan membawa produk kicap dan sos makanan keluaran syarikat ke eksport pasaran halal antarabangsa yang setakat ini telah berada di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Menurutnya, syarikat turut menyasarkan meningkatkan kerjasama dengan pemborong tempatan yang berada dalam ekosistem hab halal bagi memperluaskan lagi jenama Mahsuri dalam kalangan pengguna.

“Kami menyasarkan peningkatan 20 peratus pemborong di Selangor melalui penyertaan ekspo kali ini.

“Jenama kami sudah masuk ke pasar raya, sekarang kami mencari pemborong yang boleh membawa produk kami kepada pengusaha makanan, katering atau kedai runcit,” katanya di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Sabtu.

Katanya, peluang menyertai ekspo itu juga bagi memperkenalkan produk baharu syarikat iaitu Mahsuri Extra Pedas yang turut menerima sambutan menggalakkan.

“Produk kami dikilangkan di Shah Alam Selangor dan kami menyokong Selhac bagi tujuan perkenalkan produk kami kepada peniaga industri halal.

“Produk kami diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Selain pengguna di rumah, kami percaya semua produk kami juga sesuai digunakan oleh pengusaha makanan,” katanya.

Selhac diadakan tiga hari bermula 4 Mac melibatkan penyertaan 170 syarikat dari pelbagai industri halal yang mengambil bahagian.

Ekspo berkenaan memberi peluang kepada pengeluar industri halal di Selangor untuk membuka peluang perniagaan menerusi kerjasama baharu dan meneroka pasaran antarabangsa.

Sumber