MAHB catat pergerakan penumpang 4.8 juta pada Januari 2022

MAHB catat pergerakan penumpang 4.8 juta pada Januari 2022

KUALA LUMPUR – Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan pergerakan penumpang 4.8 juta pada Januari 2022, lebih baik daripada suku keempat 2021, walaupun menghadapi cabaran tambahan daripada gelombang koronavirus Omicron.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, sumbangan pergerakan penumpang dari Malaysia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) Istanbul, masing-masing berjumlah lebih dua juta.

“Kadar vaksinasi yang tinggi dan peningkatan untuk kempen suntikan penggalak telah mengurangkan penyakit serius dan kemasukan ke hospital dengan ketara, memberikan keyakinan kepada kelonggaran sekatan dan prosedur perjalanan yang lebih progresif,” katanya kepada bursa saham.

Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik Malaysia, masing-masing mencatatkan 1.3 juta dan 3.5 juta penumpang, didorong oleh pemulihan trafik domestik negara berikutan kelonggaran sekatan perjalanan antara negeri sejak Oktober 2021.

MAHB berkata, Malaysia mencatatkan pergerakan penumpang 2.7 juta secara keseluruhannya dengan sektor antarabangsa dan domestik, masing-masing mencatatkan lebih 270,000 dan 2.5 juta penumpang.

Katanya, pergerakan penumpang domestik mencapai 63.0 peratus daripada trafik pada Januari 2019, pertumbuhan tertinggi yang dicapai setakat ini berbanding tahap sebelum Covid-19.

“Walaupun berlaku gelombang Omicron yang menyebabkan penggantungan sementara Laluan Perjalanan Vaksinasi dan perjalanan umrah di Malaysia, pergerakan penumpang pada Januari untuk Malaysia berdaya tahan dan mencatatkan prestasi lebih baik daripada purata pergerakan penumpang yang dicatatkan pada suku keempat 2021,” menurut MAHB.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, pergerakan penumpang harian di SGIA Istanbul mencatatkan aliran meningkat menjelang minggu akhir Januari.

SGIA Istanbul mengendalikan sejumlah dua juta pergerakan penumpang pada Januari 2022 dengan penumpang antarabangsa melebihi pergerakan pada Januari 2019 buat kali pertama sebanyak 8.5 peratus atau 84,094 penumpang.

“Momentum pemulihan trafik dari 2021 berterusan hingga 2022 dan SGIA Istanbul disenaraikan sebagai lapangan terbang keenam paling sibuk dari segi jumlah trafik penumpang oleh ACI (Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa) Eropah pada 2021.

“Beberapa negara di Asia Tenggara dan Asia Pasifik merancang untuk membuka sempadan secara berperingkat dengan perbincangan berterusan untuk mewujudkan gelembung perjalanan baharu. Berita daripada Majlis Pemulihan Negara mengenai membuka sempadan Malaysia seawal Mac membawa keyakinan kepada industri penerbangan,” katanya – Bernama

Sumber