Maggi, FAF, MAB agih 120,000 pek bubur lambuk

Maggi, FAF, MAB agih 120,000 pek bubur lambuk

SHAH ALAM – Maggi bersama Food Aid Foundation (FAF) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) mengagihkan lebih 120,000 pek bubur lambuk Maggi yang berkhasiat melibatkan 200 lokasi di Semenanjung Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, penerima sumbangan tersebut ialah keluarga kumpulan B40, rumah anak yatim, rumah kebajikan dan pertubuhan amal sepanjang bulan Ramadan.

“Menerusi kerjasama dengan FAF dan MAB, sumbangan bubur lambuk pada tahun ini turut melibatkan golongan gelandangan, golongan kurang upaya.

“Turut menerima sumbangan bubur lambuk ialah para petugas kesihatan dan barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam melindungi masyarakat sepanjang pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelancaran inisiatif bubur lambuk Maggi telah diadakan pada Jumaat lepas.

Aranols berkata, Nestle komited untuk menyokong individu yang memerlukan menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporatnya termasuk inisiatif pengagihan bubur lambuk yang menjadi simbol amalan berkongsi sepanjang bulan Ramadan.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, bubur lambuk ialah hidangan yang lahir daripada semangat saling membantu dan bersedekah sempena bulan Ramadan.

“Kami juga amat berbesar hati kerana dapat meneruskan tradisi ini pada Ramadan tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang.

“Amalan berbuat kebaikan dan berkongsi rezeki pada bulan Ramadan adalah selaras dengan perkongsian rahmat dan sumber pendapatan ibarat hidangan bubur lambuk Maggi yang dimasak dengan Maggi CukupRasa dan bahan-bahan segar lain yang disediakan dan diagihkan secara eksklusif oleh cef Maggi,” katanya.

Nestle turut menjalin kerjasama dengan Jasmine Food Corporation, Sazarice, ALIF, BHPetrogas dan Kara Malaysia dalam penyediaan bubur lambuk Maggi yang merupakan hidangan tradisi sewaktu berbuka puasa yang enak dan berkhasiat.

Sumber