MAA unjur jualan kenderaan naik 17.9 peratus tahun ini

MAA unjur jualan kenderaan naik 17.9 peratus tahun ini

PERSATUAN Automotif Malaysia (MAA) meramalkan pertumbuhan 17.9 peratus dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 600,000 unit pada tahun ini berbanding 508,911 unit yang dicatatkan semasa 2021.

Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad berkata kenderaan penumpang dan komersial dijangka mencatatkan jualan rekod, masing-masing sebanyak 540,000 dan 60,000 unit tahun ini.

Selepas pandemik, ekonomi global dilihat sedang memulih memandangkan ekonomi di seluruh dunia telah dibuka sebahagian besarnya.

“Insentif pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang sehingga 30 Jun 2022 dan lonjakan pengeluaran serta penghantaran oleh syarikat automotif bagi memenuhi tunggakan dan pesanan baharu akan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jualan,” katanya pada taklimat media di tinjauan pasaran MAA 2021 dan unjuran 2022 di sini hari ini.

Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan penanda aras kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus hari ini, yang akan menyediakan rangsangan tambahan untuk sektor itu, katanya.

“Ini boleh membantu mendorong perbelanjaan domestik termasuk barangan mewah seperti kereta. Perbelanjaan pengguna dijangka pulih semula seiring dengan kebangkitan ekonomi negara.”

Aishah berkata pengenalan model baharu termasuk kenderaan elektrik pada harga yang lebih kompetitif, kempen promosi agresif oleh ahli MAA dalam mendorong jualan juga boleh membantu mengekalkan minat belian.

Bagaimanapun, sektor itu mungkin terus menghadapi cabaran berkaitan pandemik, isu rantaian bekalan, kekurangan cip semikonduktor dan peningkatan kos pengangkutan, yang mungkin menjejaskan momentum pertumbuhan negara selain memberi kesan kepada jualan kenderaan baharu.

“Namun, mungkin gangguan ini tidak akan menyebabkan pergolakan besar, memandangkan pihak berkuasa mempunyai banyak pengalaman dalam menangani krisis Covid-19 sejak dua tahun lalu,” katanya.

Jualan kenderaan baharu jatuh untuk tahun kedua berturut-turut pada 2021 dengan TIV sebanyak 508,911 unit berbanding 529,514 unit pada 2020, yang diterjemahkan kepada penurunan empat peratus.

Secara keseluruhannya, memandangkan cabaran yang dihadapi industri, rekod tersebut masih merupakan pencapaian yang agak membanggakan.

Pada tahun dalam tinjauan, hanya segmen kenderaan penumpang yang mencatatkan jualan lebih rendah, merosot sebanyak 28,308 unit atau 5.9 peratus, manakala segmen kenderaan komersial merekodkan pertumbuhan 15.9 peratus atau 7,705 unit sehingga mencecah 56,248 unit.

“Peningkatan dalam jualan kenderaan komersial adalah disebabkan oleh syarikat yang melabur dalam jangkaan pemulihan ekonomi. Sektor ekonomi seperti e-dagang, penjagaan kesihatan dan logistik dianggap sebagai aktiviti penting dan tidak dihalang daripada beroperasi serta menikmati pertumbuhan pada 2021,” katanya.- Bernama

Sumber