LBS catat keuntungan RM1.36 bilion

LBS catat keuntungan RM1.36 bilion

PEMAJU perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan keuntungan sebanyak 24.4 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FYE2021), daripada RM1.10 bilion kepada RM1.36 bilion.

Ia merupakan pencapaian tertinggi yang direkodkan LBS dengan keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 76 peratus (RM67.29 juta), berbanding RM118.70 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (Q4FYE2021), syarikat tersebut turut merekodkan untung bersih sebanyak RM46.38 juta, meningkat 41 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai keputusan itu, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, ia didorong oleh usaha inovatif syarikat di dalam inisiatif pendigitalan dan pelancaran Laman Hartanah Virtual LBS, Kempen Raikan Rezeki Bersama LBS dan Kempen Digital Vacci-Nation Bonanza yang menerima maklum balas dan diterima baik oleh orang ramai.

Dari segi pembangunan hartanah yang merupakan penyumbang pendapatan utama LBS, beliau berkata, ia mencatatkan peningkatan kepada RM1.30 bilion, iaitu kenaikan 26 peratus tahun ke tahun.

“Kenaikan ini didorong dari kadar pengambilan yang baik, dan kemajuan pembinaan yang stabil di projek yang sedang berjalan seperti Residensi Bintang Bukit Jalil, Taman Perindustrian Alam Awana, Cameron Centrum, KITA @ Cybersouth dan LBS Alam Perdana.

“LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5.3 bilion, bank tanah seluas 2,744 ekar, setakat 31 Disember 2021, yang akan memastikan pengurusan syarikat aktif beroperasi untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Manakala jualan tidak dibil sebanyak RM2.30 bilion akan memberikan pulangan secara positif untuk tempoh dua ke tiga tahun ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Hock San berkata, FYE2021 telah menjadi tahun yang luar biasa untuk LBS, yang mana jumlah keuntungan mencapai paras tertinggi.

“Justeru, saya berharap keputusan kewangan LBS ini akan menjadi suatu kenyataan hala tuju LBS di dalam melangkah ke hadapan, di samping mengekalkan kepercayaan para pemegang saham terhadap usaha LBS,” katanya.

Beliau menambah, pada tahun 2021, pihaknya melepasi sasaran jualan hartanah sebanyak 31 peratus, mencecah RM1.58 bilion berbanding sasaran awal sebanyak RM1.20 bilion.

“Ini adalah permulaan yang baik untuk 2022. Pembangunan hartanah kekal menjadi perniagaan teras kami. Justeru, LBS telah menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi pada 2022 iaitu sebanyak RM1.60 bilion dengan menyasarkan 14 buah projek baru dengan nilai GDV sebanyak RM1.77 bilion.

“Kami yakin projek-projek ini bakal mendapat sambutan menggalakkan, berikutan lokasinya yang strategik,” katanya.

Sumber