Lanjutan moratorium tiga bulan kepada pelanggan hilang kerja

Lanjutan moratorium tiga bulan kepada pelanggan hilang kerja

PUBLIC Bank menawarkan lanjutan tempoh moratorium pinjaman selama tiga bulan kepada pelanggannya yang kehilangan kerja pada tahun ini.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, lanjutan berkenaan merupakan sebahagian daripada program bantuan pembayaran balik yang dirangka bagi membantu pelanggannya berikutan penularan koronavirus (Covid-19).

“Tempoh lanjutan ditawarkan bermula pada 1 Oktober ini selepas tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan tamat pada 30 September ini,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Selain pelanggan kehilangan kerja, Ah Lek berkata, Public Bank turut menawarkan bantuan pembayaran balik pinjaman kepada individu yang mengalami pemotongan gaji serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan masalah aliran tunai.

“Pelanggan yang berhasrat untuk memohon bantuan pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan diminta mengunjungi mana-mana cawangan Public Bank, atau melayari laman web https://apply.pbebank.com/pbrnr untuk maklumat lanjut.

“Pelanggan juga boleh menghantar e-mel kepada [email protected] untuk nasihat dan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mewujudkan platform digital untuk membolehkan pelanggan yang layak menghantar permohonan bagi penjadualan semula pelan pembayaran balik mereka secara dalam talian.

“Platform ini membolehkan proses permohonan dan kelulusan yang mudah, cekap dan berkesan untuk pelanggan kami.

“Justeru, mereka dinasihatkan agar mengemukakan permohonan dalam talian menggunakan platform digital Bank melalui laman web Public Bank bermula 7 Ogos ini,” katanya.



Sumber