Langkah cegah osteoporosis buat wanita

Langkah cegah osteoporosis buat wanita

OSTEOPOROSIS merupakan penyakit tulang reput yang berisiko besar mengakibatkan patah tulang.

Masalah timbul apabila tulang tersebut telah hilang ketumpatannya dan kurang kualiti dari segi kalsium atau yang dikatakan kurang ‘bone mass density “(BMD).

BMD biasanya paling maksima pada umur 30-an dan berkurangan dengan bertambahnya umur terutama selepas putus haid (menopos).

Apabila hal itu berlaku, patah tulang boleh terjadi di mana-mana tulang. Pun begitu kebiasaannya berlaku pada tulang belakang, pinggul dan pergelangan tangan.

Patah tulang biasanya memerlukan pembedahan, kemasukan ke hospital dengan kadar lama, serta boleh mengakibatkan kecacatan yang kekal, kesakitan yang teruk, terlantar di katil dengan agak lama dan kemungkinan kematian.

Di Malaysia, sekurang-kurangnya seorang dalam tiga orang rakyat berisiko tinggi mendapat osteoporosis. Juga didapati bahawa sekurang-kurangnya separuh atau 50 peratus daripada wanita berumur 50 tahun ke atas mengalami patah tulang disebabkan osteoporosis.

Osteoporosis dapat dielakkan dengan:

a) Pengambilan kalsium dan Vitamin D yang mencukupi

Rakyat Malaysia dikatakan mengambil hanya 300 hingga 500 miligram (mg) susu sehari sedangkan,

Bagi wanita 19-49 tahun – 800mg sehari diperlukan.

Bagi wanita lebih dari 50 tahun – 1,000mg sehari diperlukan.

Antara makanan yang mengandungi kalsium termasuk:-

1. Yogurt biasa dua peratus, satu cawan – 415mg

2. Susu tinggi kalsium satu cawan, 500mg, susu biasa cuma 300mg

3. Susu skim satu cawan – 300mg

4. Keju satu cawan – 217mg

5. Kacang soya setengah cawan – 88mg

6. Brokoli setengah cawan – 89mg

7. Buah oren – 52mg

8. Ikan salmon tiga ke empat oz – 225mg

Dicadangkan agar di samping minum susu, diambil juga tambahan pil kalsium karbonat atau kalsium sitrat.

Vitamin D pula, kalau kita terdedah pada matahari selama lebih dari 15 minit sehari, maka sudah mencukupi untuk kita. Bagi, wanita yang berumur, terlantar di katil atau yang kuran membuat aktiviti di luar, maka diperlukan 800 IU sehari yang boleh didapati dalam pil multivitamin atau kalsium. Vitamin D juga boleh didapati dalam telur, daging dan ikan salmon dan sardin.

b) Tingkatkan berat badan bagi wanita yang BMI kurang dari 19 kg/m2.

c) Tingkatkan senaman “weight bearing” atau aktiviti fizikal tetapi jangan keterlaluan. Seeloknya tiga ke empat kali seminggu untuk 20 hingga 30 minit setiap kali untuk mengekalkan keseimbangan hormon.

Contohnya, lebih baik jalan kaki daripada naik kereta apabila ke kedai berdekatan, naik tangga daripada naik lif bila ke pasar raya dan berdiri daripada duduk.

d) Kepentingan postur atau cara yang betul untuk duduk, berjalan dan berdiri, juga untuk mengangkat barang.

e) Elakkan minuman beralkohol.

f) Kurangkan pengambilan kopi, teh dan coklat.

g) Elakkan merokok.

h) Bagi wanita berumur, elakkan daripada mudah jatuh dan tercedera.

RAWATAN

Osteoporosis Primer

1. Rawatan hormon untuk tingkatkan BMD.

– Progestin dan oestrogen untuk wanita yang masih ada rahim.

– Ostrogen untuk wanita yang tiada rahim.

* Kaedah ini hanya untuk merawat dan mengelakkan osteoporosis dalam wanita yang sudah menopos.

2. Biphosphonates. Tablet allendronate 10mg sehari selama tiga tahun.

3. Suntikan hormon parathyroid (Forteo) – agak mahal, RM1,800 sebulan selama 18 bulan.

Osteoporosis Sekunder

1. Pesakit yang menggunakan ubat steroid contohnya asma, boleh mengurangkan risiko dengan mengambil steroid secara sedutan. Pesakit yang menggunakan ubat yang menyebabkan osteoporosis perlu mengamalkan senaman secara berkala seperti di atas, elakkan aktiviti yang boleh memberi risiko kemalangan yang boleh menyebabkan tulang patah.

2. Bagi pesakit ginjal/ buah pinggang, perlu rawat komplikasi yang timbul dan kalau perlu pesakit perlu rawatan dialisis.

3. Mengambil kalsium dan vitamin D yang mencukupi setiap hari, dengan dos seperti diberikan di atas untuk mengekalkan BMD dan mengelakkan patah tulang.

4. Mengambil Calcitonin melalui sedutan.

5. Amalkan senaman “weight bearing” seperti brisk walking( jalan cepat) sekurang-kurangnya tiga empat kali seminggu bersama keluarga.

Kesimpulannya, bagi wanita yang belum menopos dan tiada faktor-faktor risiko yang telah disebutkan tadi, kesedaran tentang penyakit perlu ada dan eloklah diambil langkah-langkah pencegahan yang telah dinyatakan seperti meminum susu dengan secukupnya. Sementara itu, bagi wanita yang ada faktor-faktor risiko, tumpukan usaha untuk merawat penyakit-penyakit berkaitan seperti dalam osteoporosis sekunder sebaik-baiknya.

Bagi wanita yahg sudah menopos, jangan bertangguh untuk membuat ujian BMD, jaga kesihatan anda, amalkan senaman “weight bearing”. Elakkan dari aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan dan patah tulang. Wanita digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor pakar tentang pengambilan hormon yang boleh mengelak dari osteoporosis.

Sumber: imedik.wordpress.com



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *