Kumpulan AirAsia gantung beberapa penerbangan antarabangsa

Kumpulan AirAsia gantung beberapa penerbangan antarabangsa

AIRASIA Group Bhd menggantung kesemua penerbangan antarabangsa bagi sementara waktu untuk operasi di Malaysia, Thailand dan Filipina kerana penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Bagi AirAsia Indonesia, kumpulan syarikat penerbangan itu mengurangkan kekerapan penerbangan antarabangsanya, sementara operasi domestik diteruskan pada jumlah kekerapan yang dikurangkan.

“Ahli Lembaga percaya bahawa penggantungan penerbangan sementara ini tindakan yang betul untuk memastikan kesejahteraan penumpang, tetamu dan kakitangan kami, ia akan kekal sebagai keutamaan dalam perniagaan kami dalam masa yang mencabar sekarang.

“Syarikat itu akan terus menilai keadaan dari semasa ke semasa dan bersedia untuk meneruskan kembali perkhidmatan sebaik sahaja keadaan bertambah baik, tertakluk kepada kelulusan pengawal seliaan,” kata syarikat penerbangan kos rendah itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu berkata, semua penerbangan antarabangsa dan domestik AirAsia Malaysia digantung sementara dari 28 Mac hingga 21 April 2020.

Dalam pada itu, penggantungan sementara untuk AirAsia Filipina melibatkan penerbangan antarabangsa dan domestik dari 20 Mac hingga 14 April 2020, ketika tempoh kuarantin komuniti di Luzon serta di bahagian lain di negara tersebut.

Bagi AirAsia Thailand, penggantungan sementara semua penerbangan antarabangsa adalah dari 22 Mac hingga 25 April 2020 manakala operasi domestiknya diteruskan pada kekerapan yang berkurangan.

Sementara itu, AirAsia India, yang hanya menjalankan operasi laluan domestik telah menggantung penerbangannya selama 21 hari bermula 25 Mac bagi mematuhi penggantungan dilaksanakan kerajaan bagi semua penerbangan domestik. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *